Friday, December 23, 2016

PELURU KELIRU


Muncung senjata Automat Galisnovoka 58 kelihatan dari satu sudut bagai menungkat bulan di langit cerah bumi Levonshem. Sungguh tenang dan indah permandangan malam ini. Sungguh mendamaikan. Mereka yang memandangnya bisa terlupa bahawa bumi ini adalah bumi yang bergolak untuk kesekian tahunnya hingga hari ini. Bumi yang keliru dengan seratus kisah hampir lunyai dipukul kejahatan.

Bandar di pinggir padang pasir itu bagaikan Bandar hantu. Ditinggalkan sejak setengah tahun lepas. Vidin bersandar di dinding di salah sebuah banggunannya yang runtuh sebahagian bumbungnya. Senjatanya hampir di bahunya. Letihnya bukan kepalang. Lehernya ada kesan sedikit luka akibat percikan ledakan yang agak jauh pada pertempuran petang tadi. Mujur api letupan tidak jatuh hampir dengannya. Kalau tidak telah habis usianya dan berhasil lah dia berjumpa dengan Sang Pencipta.

Sudah setengah kurun Levonshem bergolak. Dan beribu jiwa telah padam. Namun peperangan masih belum tampak untuk berhenti. Dan duka Levonshem telah disahut oleh banyak bangsa di dunia, bagi menyelamatkan saudara yang berkongsi pegangan kod moral yang sama. Ribuan datang menyahut tanpa mempedulikan maut yang mungkin menjemput. “Pegangan kami adalah agung dan musuh kami perlu dilenyapkan dari bumi Levensyem ini.”  Itulah tiupan semangat yang selalu terlaung menjemput Vidin dan sekelian manusia dengan tujuan yang sama bersama berjuang di sini.

Musuh mereka adalah ‘para durjana’ itu. Mereka memanggilnya elQubree. elQubree adalah sejahat makhluk di muka bumi bagi mereka, dan kerena penyimpangan mereka, mereka lebih bahaya dari musuh-musuh bukan sekepercayaan mereka. elQubree perlu dihancurkan selumat-lumatnya. Levonshem perlu merdeka walaupun ia bakal dibeli dengan tumpahan darah mereka.

Petang tadi pertempuran agak hebat. Mereka menjumpai saki baki militan celaka elQubree yang masih degil berkampung di daerah ini. elQubree mengalami kekalahan hebat di daerah ini digempur pasukan yang disertai Vidin. Malangnya kumpulan petrol kali ini Vidin hanya berjumlah 20 orang. Tujuh terkorban dan tercedera berat dan telah dihantar dengan lori ke kem 10 km dari sini. Maka ini  mengecilkan lagi jumlahnya dan mereka diperintahkan bertahan di sini. Kalaulah Vidin bersama dengan kumpulan Induk dari kem, takkan sampai sejam, elQubree yang berjumlah kecil tadi bakal tinggal bangkai semuanya.

Di sebelah sini peperangan bagaikan ada undang-undang yang tidak bertulis. Malam adalah dikhsuskan untuk berhenti rehat dan rawat. Maka Apabila gelap menjelma, taburan peluru bakal terhenti.

“Mana Avang Adi?” Tanya Mehmez, pemuda betubuh sasa dari daerah Kekennya. Jambang merahnya menambahkan bengis. “Peluru perlu disimpan hingga bantuan datang esok pagi! Mana Awang Adi?” Amuknya. “Mana si celaka itu?”

Petang tadi Mehmez baru sahaja memikul rakan seperjuangan yang cedera ke dalam trak. Terburai tali perutnya terkeluar sebelum dibalut dengan kain. Ada yang diam setelah peluru menembusi mata. Ada yang hancur anggota di bawah lutut. Darah sangat murah petang tadi dan sebahagiannya masih terlekat di seluar dan kasut Mehmez. Dan mood Mehmez, pendekar berani mati yang dikatakan membunuh lebih 100 musuh itu tidak baik sejak tadi.

Vidin terdiam. Dia tidak tahu apa yang bakal dicakapkan. Perlukah dia memberitahu perkara yang sebenar?

Avang Adi ditugaskan dalam pengumpulan alatan. Avang Adi adalah anak cerdas berusia 19 tahun. Avang Adi datang dari rantau yang sama dengannya, dari Arkipelago Sumadara. Cuma dia tiba tiga bulan setelah Vidin berada di bumi Levonshem. Dia terlalu muda, dan terlalu cergas. Penuh dengan rasa ingin tahu  dan akalnya mendorong dia untuk mempersoalkan semuanya.

Vidin teringat dengan perbualannya bersama Avang Adi minggu lepas. Perbualan yang mungkil bergaul dengan ketakutan dan kejahatan. Namun perbualan itu melekat di fikiran Vidin. Perbualan itu amatlah sangat mengganggu akal Vidin. Sesuatu yang membolak balikkan pertimbangan Vidin.

Avang Adi mempersoalkan tujuan mereka di sini. Kenapa mereka datang ke sini. Adakah kerana pegangan mereka atau satu kebodohan.

“Kau tau lari dari peperangan adalah satu dosa yang tak terampun!” Kata Vidin kepada Avang Adi. Badannya begitu hampir dengan unggun api yang memberi cahaya pada kelam awal malam pada malam minggu lalu itu.

“Tak, kalau kau enggan mau ikut, itu pilihanmu.” Kata Avang Adi kecewa. “Kau sahabatku. Kalau kau tak mahu ikut denganku untuk kembali, nah terserah padamu. Aku akur.” Avang Adi bermain-main dengan tabung air ditangannya.

“Kejahatan apa yang menguasaimu? Lebih setahun kamu di sini. Kenapa kau tak mahu teruskan menghancurkan saki baki musuh?”

Avang Adi menoleh dengan mata tajam dan mula menepuk-nepuk dadanya. “Nyawa ini saja yang aku punya. Hanya nyawa ini. Dan aku berhak dengan pilihanku. Ini hidup aku. Kau perlu hormati itu.”

Vidin memerhatikan sekeliling, gentar jika perbualan mereka mungkin didengari. Mujur sahaja mereka berbual di dalam bahasa yang hanya difahami oleh mereka berdua.

Vidin melabuhkan punggungnya ke tanah. Dia mematahkan ranting halus dan mula mencakar tanah bagai melukis sesuatu. “Baiklah!” Katanya. “Aku hormati keputusan mu. Cuma saja kau sahabatku yang paling dekat. Kalau tidak, sudah pasti pisau di pinggangku ini telah terbenam ke dadamu. Bagiku, lari dari medan juang adalah satu pengkhianatan yang hanya biasa dihukum dengan kematian.”

            “Bolehkah aku bertanya.” Kata Avang Adi sambil mula berlutut mengadap unggun api tadi. Bayang-bayang mukanya berubah bentuk mengikut liuk lentok api yang menari.

            “Bolehkah aku menjawab tidak?”

            “Sedari kecilmu, kau setia dengan kepercayaanmu. Dan sedari kecil kita sering disedari tentang musuh besar pegangan kita.”

            “Maksudmu?” Tanya Vidin.

            Avang Adi menggeselkan kedua tapak tangannya dan menadah pada api untuk mencuri haba. Kesejukan malam di padang pasir itu agak menyiksakan pada hujung tahun begini.

            “Siapakah kejahatan agung yang selalu kita selalu sedari sejak dahulu.” Avang Adi mula bertanya lagi. “Siapa musuh besar pegangan kita?”

            “Senang! Dua durjana besar. Xioniff dan Yankmerigo.” Kata Vidin.

            “Yaaa!!! Rejim Xioniff. Kita tahu Xioniff adalah musuh kita. Cuba kita lihat minggu lepas, ketika ramai pejuang kita cedera, di mana mereka dirawat?”

            “Mereka…mereka di bawa ke rumah sakit di sempadan Xioniff.”

            “Ya. Maka apa logika ini. Kita berperang dengan elQubree dan pejuang cedera dirawat di rumah sakit Xioniff. Tidakkah akalmu berselirat dengan pertanyaan?”

            “Ya, tapi…”

            “Bagaimana pula dengan persenjataan. Roket dan peluru kita, kenderaan dan kereta perisai kebal kita dari mana datangnya?” Tanya Avang Vidin bersungguh-sungguh.

            “Dari…”

            “Dari Franko Yacobeen kan? Dari Injeelizia. Sekutu rapat Yankmerigo. Malah wakil Yankmerigo sendiri datang menemui wakil kita membekalkan bantuan dan bantuan intelijensia. Apa maksudnya ini?”

            “Tapi…”

            “Bukankah Xioniff musuh kita? Bukankah Yankmerigo musuh kita? Kenapa kita dibantu musuh?”

            “Avang…”

            “Akal sihat mana bisa menerima ini Vidin?” Tanya Avang Adi dengan muka seserius mungkin. “Aku pening memikirkannya.

            “Avang, kau perlu tahu strategi peperangan. Dalam perang ini, elQubree adalah musuh kita. Dan tidak salah kan untuk mengambil bantuan musuh untuk memerangi musuh yang satu ini kan?” Kata Vidin memelahankan suara. Bunyi api membakar kayuan mengiringi suaranya.

            “Bukankah itu permainan musuh. Lagipun, adakah eLQubree benar musuh kita? Kita berkongsi percaya pada Sang Penciptya yang sama. Dan bukan seluruh ahli pegangan kita tidak menerima mereka. Sebahagian berlapang dada menerima kekhilafan dan sebahagian tidak. Dan kita entah bagaimana berkeputusan memusuhi mereka. Kita dengarkan kata-kata para penyeru kepercayaan yang bernada keras. Adakah panjang akal pengadilan kita ini? Bagaimana dengan penyeru yang menerima mereka? Adakah mereka menyimpang?”

            “Kenapa kau tiba-tiba mempersoalkan perjuangan kita? Ketakutanmu telah menulis pelbagai cerita di dalam akalmu!” Kata Vidin sedikit meninggikan suara.

            “Perjuangan? Aku malu. Aku malu dengan perjuangan ini.” Kata Avang Adi sambil mukanya menjauhi. Botol tabung air bewarna hijau itu dibuka.

            “Apa yang kau malukan?”

            “Tidak bacakah kita akan sejarah?”

            “Sejarah apa?”

            “Yang sekurang-kurangnya elQubree celaka itu berperang dengan musuh yang kita maklumi. “ Avang Adi bingkas dari duduknya dan beberapa tapak menjauhi api.

            “Kejahatan apa yang menguasaimu?” Kata Vidin.

            “Kenyataan, bukan kejahatan.” Avang Adi meneguk air dari tabung hijau itu. Dan kemudain menyambung. “Mereka melawan Xioniff dan Yankmerigo. Mereka berjuang dengan dengan tumbangnya bukan sedikit nyawa dan akhirnya berjaya menghalau Xioniff dari tanah air mereka. Dan mereka menderita disekat ekonomi puluhan tahun oleh yankmerigo dan sekutu, tapi mereka masih bangkit melawan.” Avang Adi mengeluh.

            “Akal penyimpangan telah mengianati hatimu Avang Adi. Katakan sahaja kau telah bertukar menjadi pengecut lantas kau tulis rumusan yang pelbagai bagi menyokong kecenderunganmu.” Vidin juga mula bangun untuk berlalu.

            “Rumusan. Ya, rumusan bagaikan rumusan sifir! Tepat sekali. Apa rumusan kau dengan keganasan yang kita lakukan terhadap para awam. Merakamkan sembelihan bagaikan itu suatu perakara yang dibanggakan, dan patut diraikan dan dikongsi di sesawang ke seluruh dunia.”

            “Kau meracau! Simpan sedikit kegilaanmu itu. Ketakutan terhadapa kematian telah menelanmu. Arghhh! Aku pergi dulu.” Kata Vidin sambil menutup telinga.

            “Bagaimana dengan elQudza? Bagaimana dengan Varastint!”

            “Kenapa dengan Varastint?” Tanya Vidin terganggu dia untuk berlalu.

            “Sifirnya mudah. Saudara kita yang tersiksa di Varastint diganyang Xioniff setiap hari. Lihat sifirnya. Varastint dan Xioniff bersempadan dengan Levonshem. Levenshem menawarkan ruang latihan bagi pejuang Varastint. Musuh malah dunia mengetahui dan mengumukan bahawa persenjataan Varastint sebahagiannya berusul dari Levonshem dan daerah elQubree.” Kata Avang Adi.

            “Maksudmu?”

            “Lihat pula pelaung-pelaung yang meniup perang, dan penaja-penaja dan pengeluar dana untuk peperangan kita! Ghadar? Sovdee? Pernahkah mereka bersunggup meniup perang untuk menolong Varastint? Tidak kan? Tidak pernah sekalipun kedengaran bahawa bangsa-bangsa itu mengirim walau sebiji peluru pun pada Varastint. Tapi untuk perang ini, mereka begitu bersungguh. Padahal boleh saja perang ini merebak ke Xioniff yang tidak jauh dari sini.”

            “Maka?” Tanya Vidin sedikit mengherdik.

            “Arghhh, aku yakin aqalmu sihat dan kau tak mungkin mahu dijadi umpan catur.” Kata Avang Adi sambil menuangkan sisa air ke unggun api dan memijak-mijak bara api dengan bootnya memastikan api tidak bersisa. “Mungkin anjing takkan menggigit tuannya sendiri?” Avang Adi terus berlalu meninggalkan Vidin.

            “Avang Adi dan Rosmanov telah menghilangkan diri.” Kata Mehmez yang berjanggut merah tadi. Ditubuhnya terpakai jaket yang terselit alat letupan yang jika diletupkan bakal menghancurkan seluruh bangunan ini. Lamunan Vidin berakhir dan dia mula cemas.

Hanya lima orang berada di banggunan ini. Selebihnya berada di banggunan lain, selang tiga banggunan dari tempat mereka berada. Di bangunan ini tersimpannya bekalan senjata, peluru, makanan. Kedudukannya agak ke dalam berbanding bangunan yang satu lagi di mana mereka berkawal mengadap arah musuh.

            Mehmez memandang dinding dengan lama. Tak lama kemudian, dia mengeluarkan pistol dari pinggangnya, berpaling ke arah Vidin.. Dia berjalan mendekat setapak demi setapak dan muncung pistol itu bagai dihalakan ke arah Vidin. “Vidin, aku rasa kau tahu sesuatu tentang ini. Bagitau aku, di mana Avang Adi?”

            “Apa yang kau buat ni? Kau dah gila Mehmez?” Kata Vidin memandang muncung pistol dihadapannya.

            “Beritahu aku!” Pekik Mehmez sambil melepaskan picu keselamatan pistolnya.

            Tiba-tiba datang Avu Razed tegesa-gesa bercakap dalam bahasa yang tidak difahami Vidin. Mehmez kelihatan cemas. Mereka dengan segera beredar dan kedengaran bagai pergaduhan berlaku di luar.

            Vidin menjadi lega. Dadanya bergelombang kencang. Dia bingkas berdiri dan mual berjalan mundar-mandir. Kegilaan apakah yang baru berlaku tadi? Kepalanya berselirat dengan pertimbangan yang pelbagai.

Dia kembali duduk dan memikirkan tentang perbualannya dengan Avang Adi minggu lalu. Perbualan itu betul-betul mengganggu pertimbangannya. Apatah lagi banyak yang dikatakan Avang adalah benar.

            Sebenarnya sebelum pun perbualannya dengan Avang Adi, telah banyak kali persoalan itu hinggap di kepala Vidin sepanjang dia berada di situ. Banyak perkara yang berlaku. Kekerasan, keganasan dan dia tidak tahu adakah perkara-perkara yang dilakukan itu berseiring dengan kepercayaannya.. Banyak perkara yang sangat-sangat perlu dipersoalkan. Adakah jalan perjuangannya ini adalah jalan yang diredhai.
            Baru sahaja dua minggu lepas rakan-rakan seperjuangannya merogol gadis awal belasan tahun. Tidak seorang pun mereka dihukum. Sebaliknya mereka dimaafkan dengan justifikasi yang mereka dari barat dan baru memeluk kepercayaan ini. Dan para perawan yang dirogol adalah peyakin kepercayaan elQubree maka ia dimaafkan. Terdengar juga edik-edik hukum dari pendita-pendita besar yang sangat keluar dari ruang setujunya. Kenapa terjadi demikian. Tidakkah ia bercanggah dengan pesan Sang Pengantara yang ketat dengan undang-undang perangnya.
 Dan yang paling dasyat, dua hari lepas seorang dari mereka telah datang ke mayat musuh, mengelar dada dan memakan hati mangsa. Semua menyaksikan perkara itu bagaikan satu perayaan. Malah ianya dirakam. Kegilaan yang amat gila. Dan seringkali mimpi ngeri dan rasa bersalah mendatangi mimpinya. Dia cuba melupai kedasyatan musim peperangan. Namun dia lupa untuk melupakan. Sesungguhnya dunia peperangan penuh dengan keliru dan kepelikan.
Terngiang-ngiang kata Avang. “Apa rumusan kau dengan keganasan yang kita lakukan terhadap para awam. Merakamkan sembelihan bagaikan itu suatu perkara yang dibanggakan, dan patut diraikan dan dikongsi di sesawang ke seluruh dunia.” Kata-kata itu bagai menikam akalnya. Dia mula ragu-ragu.
Dia tersandar di dinding dan mula mengingati sesuatu dan wajah Avang Adi maghrib tadi muncul kembali dalam kepalanya.

            “Vidin. Aku harap kau mengubah fikiran.” Bisik Avang Adi ke telinga Vidin dengan suara yang sangat mengharap.

            “Aku tak boleh meninggalkan perjuangan ni.” Kata Vidin.

            “Hmmm… dengarnya  bantuan musuh bakal sampai. Mungkin esok. Mungkin lusa. Ini bagaikan bunuh diri…”  Kata Avang Adi?

            “Bukankah kematian salah satu cita-cita kita apabila kita kemari?”

            “Terpulang. Namun jika kau beralih fikiran, kami akan berada di perkampungan Aluva sehingga subuh. Kami akan tunggu di kuburan di sana. Nanti subuh bakal ada kenderaan yang akan membawa kami ke sempadan. Aku harapkan kau bakal datang. Kami menunggu.”

            Vidin menutup mulutnya. Dia bagaikan tahu apa yang perlu dibuat. Dia menggapai senjatanya dan berfikir. Haruskan dia meredah gelap malam ke kuburan Aluva? Dia serba salah. Tiba-tiba sesuatu terpacul dari mulutnya. “Ini satu kegilaan!” Terbayang muka Mehmez yang menggila yang hampir membunuhnya. Dia mula nekad. Dia mula keluar melangkah.

            Tiba-tiba “Kebbooooommmmm.” Bunyi yang kuat dari arah selatan diekori oleh bunyi mesingan. Vidin terkejut dan mula mengintai dari jendela. Kelihatan dari jauh sebuah kereta perisai kebal datang mampir.

            Keadaan semakin kacau. Vidin memikirkan ini lah masa yang sesuai untuk dia meredah gelap malam. Tiba-tiba muncul Mehmez dengan senjata di tangan. Jaket ves letupan masih lagi tersarung di  badannya. Dia kembali ke bilik sebelah.

            Kedengaran bunyi tembakan dari atas. Rupanya bangguan telah dikepung. Vidin mendongak dan kelihatan sekurang-kurangnya ada empat orang berada di bumbung. “Jangan bergerak!” kata mereka. Bunyi kekecohan di luar semakin memuncak. Mungkin puluhan tentera musuh berada di luar bangunan.

            Vidin mula menjatuhkan senjatanya. Agaknya telah lama pihak musuh mengidamkan bekalan persenjataan yang berada di bilik ini. Dan tiba-tiba air mata sesalan mula mengalir di mata Vidin. Dia mual memikirkan siksaan atau atau kematian di jalan kebodohan. Menyerah adalah pilihan yang lebih tepat.

            Tiba-tiba terdengar teriakan. Mehmez datang berlari. “Tiada yang lebih indah dari kematiannya!” Jeritnya.

Peluru-peluru mula hinggap di dadanya. Di masih gagah berdiri.

Kakinya masih melangkah dan dari tangan kelihatan pemicu letupan.

Dia mengangkat tangan dan mula menekan pemicu bom yang terlekat di dadanya dan….

***********************************************


Jika anda suka apa yang anda baca, pergi ke home (klik LIPASLITERASI) di atas atau di sini, dan jemput baca cerpen-cerpen yang lain.

Saya juga ada menulis novel berjudul Paramalang (424 mukasurat), Sebuah novel urban tentang harapan, cinta, perahabatan, kekecewaan, erti kehidupan dan punk rock! Dapatkan novel PARAMALANG. whatsapp ke 019-3020248 (Matyie Abahaydar)




           

           

             

           



Friday, December 16, 2016

BOGEL

“Telanjang bulat bai! Serius!” Sariff membeliakkan matanya sambil menyapu sedikit milo ais yang tertumpah di baju Led Zep nya. Dia menanti reaksi dari Kamil yang masih lagi mengayuh makanannya ke mulut bagaikan benar-benar kelaparan.

“Iyolah.” Jawab Kamil kurang yakin. Keli goreng ditangannya yang tinggal tulang dipatahkan bahagian kepala dan digigitnya sampai hancur. “Kau nak pergi mana pulak tu?” Sambung Kamil melihat Sariff yang mula berlalu.

“Naik atas, berak.” Katanya pendek. Nampak dari riak mukanya bagaikan merasa kecewa apabila ceritanya diremehkan.

Itulah perbualan terakhir Kamil dan Sariff pada bulan lepas sebelum tindakan Sariff menghilangkan diri.Entah kenapa tiba-tiba rakannya itu berhenti kerja secara tiba-tiba pada dua minggu selepas itu perbualan itu terjadi. Detik hati Kamil mungkin ia ada kena mengena dengan Tasya.

Sejak Tasya mula masuk kerja kira-kira lima bulan yang lalu, itu sajalah topik yang diulang-ulang oleh Sariff. Mengenai Tasya. Apatah lagi dia baru saja dipindahkan pada tingkat yang sama dengan Tasya dan sering satu syif dengannya. Senang cerita, Sariff memang mengilai gadis itu.

“Macam pelakon Hollywood tu, apa namanya…” Kata Sarrif pada minggu pertama Tasya masuk kerja duhulunya. “Alaaa… yang berlakon cerita…alaa… haa, macam Charlize Theron. Kenal? Bezanya rambut dia itamlah. Kalau blond, sebijik cakap kau.” Bersungguh-sungguh Sariff menunjukkan keterujaannya dengan gadis yang baru datang ke department mereka.

Sariff dan Kamil biasanya bekerja di syif yang sama. Bezanya mereka bekerja di berlainan tingkat. Pejabat mereka menempatkan dua tingkat untuk mereka bertugas. Sariff di tingkat 17 dan Kamil berada di satu tingkat di bawahnya. Tempat berjumpa mereka adalah di kedai mamak 24 jam di tingkat bawah di depan banggunan mereka.

                “Sejak aku jaga sistem malam-malam gini, ni lah first time aku rasa bahangianya kerja ni. Aku dah angau teruk ni.” Kata Sariff ketika menjamu nasik lemak suatu pagi.

“Kau nak makan ke tanak nasik lemak tu? Tanak bagi aku lah. Asyik dok pegang sudu dari tadi.” Mata Kamil tidak beralih dari screen laptop yang terpapar paparan adobe photoshop menyiapkan rekaan grafik tuntutan kerja sambilannya sebagai pereka grafik.

“Nak ambik la… kalau kau nak.” Jawab Sariff. “Aku tengok nasik lemak ni pun aku nampak muka dia je.”

“Sah, memang kronik angau kau ni.” Kamil menyeret bungkusan nasi lemak yang terbuka membawa ke hadapannya dan laptopnya dialih ke tepi.

Perbualan itu terjadi pada awal kedatangan Tasya. Setelah sekian lama, lama-kelamaan, pelbagai perkara yang agak aneh diberitakan Sariff kepada Kamil. Dan Kamil Cuma melayannya tanpa bersungguh. Kebanyakan masa hanya menjaga hati teman baiknya itu.

“Kau tau tak, semua menda dia makan dengan cili sos. Hari tu aku bagi donat kat dia dia bantai dengan cili sos. Makan karipap dengan cili sos. Malam tu sekali, aku tengok dia ambik nangka dalam fridge, tu pun dia makan dengan cili sos.” Kata Sariff.

“Pelik benau crush kau ni Sariff. Selera pelik-pelik ni. Ishhh….” Kat Kamil sambil mengisi Slurpee ke dalam cup hingga penuh.

“Kau rasa tu pelik? Ada lagi yang pelik bai.” Dahi Sariff berkeremut sambil menyerahkan duit di kaunter.

“Apa dia yang peliknya?” Kamil bertukar giliran membayar.

“Aku tengok  dia ni tak berenti makan. Manjang mengunyah je aku tengok. Non-stop. Tapi badan tak naik pun.”

“Tu buruk lantak tu.” Kata Kamil tersengih. Dia mula berjalan keluar dari 7-Eleven diiringi Sariff yang menjinjing seplastik makanan ringan.

“Iya beb. Dari malam sampai ke pagi ntah berapa pek makanan, segala mak bapak crackers, kerepek, pizza, mi segera dibantainya. Penuh makanan atas panel kadang-kadang. Semua dibantai dengan cili sos.” Sariff mula menyalakan rokoknya. “Lain macam betul dia ni?”

“Dah kau bila nak try dia ni?” Tanya Kamil.

“Itu nanti. Slow, slow…” Jawabnya menyedut puas rokok John.

Itulah antara perbulannya dengan Sariff hampir dua bulan lepas. Kamil sebenarnya masih bingung apa penyebab Sariff berhenti kerja secara mendadak. Pelbagai teori dikepalanya. Setelah berhenti, langsung dia tidak mahu berhubung dengan sesiapa. Kalau ditelefon tidak dijawab, dan apabila dihubungi di whatsapp, akan dilihat ‘blue tick’ menandakan mesej telah dibaca. Namun tidak sekalipun mesej dijawab.

“Aku tengok dia ni jarang mengantuk.” Kata Sariff suatu hari sambil menyuap mi goreng ke mulutnya. Segala sayur diasingkan di tepi pinggannya.

“Tu biasa beb.” Jawab Kamil.

“Dah la tak pernah kerja siang. Dari dulu dia dok bantai syif malam.” Kata Sariff.

“Aik, tak pernah dapat schedule siang ke?” Kamil kehairanan.

“Dia yang request nak kerja malam. Seronok katanya.” Kata Kamil.

“Yang lagi peliknya…ni aku tak pernah bagitau orang.” Sariff memperlahankan suaranya.  “Sekali dalam setiap bulan kot, akan ada satu malam dia mintak izin berehat di bilik  stor dan mintak aku cover job dia. Dia kunci pintu, lepak kat dalam bilik stor  sampai subuh lepas tu keluar dengan plastik sampah besar dengan bau hamis bercampur wangi dan masam.” Kata Sariff sambil mengesat birai bibirnya.

“Apa yang dia bawak dalam plastik tu?”

“Ntah. Aku pernah tanya, dia cuma sengih je. Apa dia buat dalam bilik pun aku tak tau. Pelik betul.” Kata Sariff menyapu hidungnya.

“Hah tu, membuta la tu kalau dah mintak berehat kat dalam bilik tu!” Ujar Kamil mendongakkan kepalanya.

“Tu lah, dia kunci pintu. Dia tak tau yang semua otai ada kunci spare bilik tu. Dulu kan bilik tu port hisap rokok.” Kata Sariff.

“Ye laaa, aku pun ada kunci tu kat keychain.” Kata Kamil.

“Itulah, satu malam tu, dah berapa jam dia dok kat dalam, computer dia restart tiba-tiba. Aku call dia minta password nak buka sistem balik.” Sekali lagi Kamil memperlahankan nada suaranya.

“Pas tu?” Tanya Kamil.

“Aku ketuk bilik tak berjawab. Dah urgent sangat, aku bukak pakai kuncilah. Tengok-tengok…, tengok-tengok dia tengah terbaring pengsan kat dalam… tanpa seurat benang. Terus aku keluar bilik.”

“Ishhh, kau biar betul, takkan bogel kot?”

“Iye cakap kau?” Kata Sariff memandang kiri kanan.

“Biar benau?” kata Kamil dengan nasi penuh dimulutnya.

“Betul! Terlentang tak sedar diri. Tidur ke pengsan?” Kata Sariff bersungguh.

“Kau kalau nak kelentong kau agak-agak la beb.” Kata Kamil.

“Iya. Dah la bilik berbau hamis- masam-masam manis. Badannya penuh dengan lendir merah apa ntah.”

“Telanjang?” Kamil meminta kepastian.

“Telanjang bulat bai! Serius…” Sariff membeliakkan matanya sambil menyapu sedikit milo ais yang tertumpah di baju Led Zep nya…

Itulah kali terakhir Kamil bersembang bersemuka dengan Sariff. Setelah hari itu, shift mereka berbeza. Pada masa yang sama Kamil pula sibuk dengan kerja sambilannya menyiapkan tempahan grafik untuk buku yang tertunggak- berusaha mengejar dealine. Dan tiba-tiba berita yang didengar, Sariff menyerahkan notis 24 jam. Jawatannya yang masih bertaraf kontrak mengizinkannya bertindak begitu. Dia tak dapat dicari dan dihubungi. Hilang tanpa dapat dikesan.

Sangka Kamil, ini tidak lain selain dari hubungannya dengan Tasya. Sangka Kamil lagi bahawa Sariff telah pun bersemuka menyampaikan hasrat hatinya namun ditolak. Itulah kemungkinan yang paling layak. Ingin saja dia bertanya pada Tasya sendiri namun belum jumpa masa yang sesuai. Tasya pernah bertanya kepada Kamil kenapa tiba-tiba Sariff meningalkan pekerjaannya. Tidaklah Kamil ketahui adakah pertanyaan itu ikhlas atau tidak. Namun dia yakin dengan teorinya yang Sariff pergi kerana ‘cinta’nya ditolak. Berkali ingin dia ‘slow talk’ dengan Tasya namun mulutnya sentiasa berat untuk memulai.

“Ada Sariff kontek kau?” Tanya Bob yang bekerja di HR.

“Tak, sampai sudah. Misteri.” Jawab Kamil.

“Ni pasal awek yang dia minat tu ke?” Tanya Bob. Satu pejabat tahu betapa dia menggilai gadis baru itu.

“aku rasa laaa…” Jawab Kamil menyetujui.

Setelah ketiadaan Sariff, Kamil dipindahkan ke tingkat atas menggantikan kekosongannya. Dan sejak beberapa hari lalu, dia ditugaskan syif yang sama dengan Tasya. Setakat yang dia lihat memang benar apa yang dikatakan oleh Sariff. Gadis itu memang agak ‘buruk lantak’. Mengunyah tak tentu masa dan semestinya dengan sos cili. Bagaikan satu ketagihan gadis itu dengan rasa pedas manis dari botol itu.

Malam semakin larut. Malam ini Kamil ditugaskan berdua lagi dengan Tasya. Dilihatnya gadis tersebut mundar-mandir dari tadi bagaikan resahkan sesuatu, bagai ingin memberitahu sesuatu namun keberatan. Mungkin dia agak segan dengan Kamil akibat belum terbiasa. Maklumlah, baru beberapa hari mereka ditugaskan bersama. Dan Kamil pulak jenis yang agak penyenyap.  Sebenarnya sejak awal malam tadi, sudah kelihatan dia mundar mandir. Dari jauh kelihatan Tasya menoleh ke arahnya. Kamil memusingkan badannya berlagak kononnya tidak perasan.

Dan benar juga kata Sariff. Memang Tasya kelihatan manis. Memang seiras pandang wajahnya mirip Charlize Theron- versi yang jauh lebih muda. Badannya agak tinggi menyamai tingginya sendiri dan senyumannya sedikit mencairkan. Namun Kamil tidak melayan perasaannya, takut-takut dia menjadi mangsa kedua parah jiwang yang tak kesampaian.

“Kamil, you boleh tolong tak?” Tiba-tiba Tasya datang menyapa mencuit bahunya. Mukanya pucat. Mulutnya ditekup bagaikan menahan muntah.

“Kau ni kenapa Tasya, Nampak macam tak sihat je?” Tanya Kamil yang mencabut headphone dari telinganya. Sisa-sisa muzik bingit masih bocor kedengaran membalut bunyi aircond.

“Takde apa-apa. Sedikit mual.” Kata Tasya- masih menutup mulut.

“Mual nak muntah ke? Tulah, banyak semacam je menyuap. Terlebih makan kot?” Tanya Kamil sambil tersenyum.

“Boleh tak you cover I untuk malam ni.”

“Dah satu pagi ni.” Kamil membetulkan.

“Boleh tak you cover I untuk pagi ni. Rasa kurang sihat lah. Ingat nak berehat kat bilik stor.” Kata Tasya menjauhkan dirinya sedikit dari Kamil. Dalam pucat sebegitu pun masih tak berkurang keayuannya. Dan apabila dia meminta untuk berehat di stor, Kamil mula megingati cerita Sariff.

“Takpelah masuklah bilik. Tapi nanti aku nak ambik powerbank yang aku tengah caj kat dalam bilik tu kejap ye. Kejap lagi aku ambik.” Kata Kamil.

“Ok. I nak siapkan report sikit. Dalam sejam nanti I masuk kot. Promise ya, you jangan masuk ke dalam.” Kata Tasya serius. Dia kelihatan betul-betul tidak sihat.

“Ok.”

“Promise ya. Janji ni jangan masuk.”

“Ok! Ok! No hal… Kau sure ke OK ni? Macam tak sihat sangat aku tengok.”Kata Kamil sambil melihat kepelikan perangai Tasya.

“Ok, takde apa-apa.” Kata Tasya sedikit tersenyum.

“Ok kalau gitu.” Kata Kamil sambil ‘menyarungkan’ headphone ke kepalanya menikmati bingit muzik Octinomos.

Tiba-tiba Tasya kelihatan cemas. Dia bangkit dari kerusi dan hampir berlari menutup mulutnya seperti menahan muntah dan memasuki bilik stor dan menutup pintu dengan kuat.  Kamil memandang dengan penuh kehairanan. “Apa kena minah ni malam ni.” Kamil membebel perlahan seorang diri.

Lima minit kemudian telefon bimbit Kamil berbunyi dituruti bunyi signal bateri. Dia mengeluarkan telefon dari poket dan didapati pemanggilnya menggunakan nombor yang tak dikenali. Cepat-cepat dia mengangkat telefon.

“Hello Mil. Apa cerita?” Bunyi suara di hujung talian sebaik sahaja telefon dijawab.

“Hello Sariff!” Kata Kamil mengenali suara pemanggil di seberang talian. “Beb, kau OK? Apa cerita beb, sebulan kau hilang. Rumah pun kosong. Kau pergi mana?” Tanya Kamil bertalu-talu.

“Aku balik kampung.” Kata Sariff. Telefon Kamil berbunyi menandakan bateri hampir kehabisan.

“Beb, bateri fon aku nak kong ni, aku kol dengan fon ofis.”

“Kau kerja ke ni?” Tanya Sariff tidak mengendahkan cadangan Kamil.

“Beb, aku kol balik. Hello! Hello!...” Kamil mendapati telefonnya bergetar dan kemudian tidak lagi bernyawa. Dia lantas duduk dan cuba menghidupkan telefonnya berkali-kali untuk medapatkan nombor panggilan tadi untuk didail menggunakan telefon pejabat. Namun setiap kali dia gagal. Dia pun memandang pintu stor – dengan perasaan serba salah.

Dia sangat ingin untuk menghubungi Sariff kembali namun dia perlu untuk menghidupkan kembali telefonnya. Satu-satunya cara adalah untuk mengambil powerbank yang sedang dicaj di dalam bilik stor. Namun dia telah berjanji untuk tidak masuk.

Akhirnya dia berkeputusan untuk mendekati bilik tersebut. Diketuknya dan dipanggil berkali-kali namun tiada jawapan yang diperolehi. Akhirnya dia mengeluarkan dari poket seluar kunci bilik yang terselit di sebalik kunci-kunci lain yang tergantung di rantai kuncinya. Dengan perlahan dia membuka pintu tersebut. “Hello…Tasya?” Tanyanya. Didapati tiada kelihatan sesiapa-pun dari dalam. Dia mula melangkah masuk menuju ke tempat powerbanknya dicaj. Dia dengan pantas menyucuk kabel powerbank ke telefonnya dan kemudian menghidupkannya.

“Kenapa kau masuk! Uhuk! Uhuk!” Terdengar suara Tasya dari belakang disusuli oleh bunyi batuk yang berpanjangan. Tasya kelihatan pelik sekali. Rambutnya kusut masai dan cairan liur bertali arus keluar dari bibir ke dagu dan sebagiannya terjuntai ke bawah.

“Sorry, aku nak ambik powerbank aku.” Kata Kamil. “Kau kenapa ni?”

“Kenapa kau masukkkk?” Suara Tasya semakin pelik.

“Sorry, sorry aku keluar sekarang!” Jawab Kamil.

“KELUAAARRRR….!!!” Tiba-tiba Tasya datang meluru. Tangannya merangkum dan mencengkam leher Kamil dan dengan sebelah tangan sahaja, diangkatnya lelaki yang beratnya lebih 70 kg itu- dengan sebelah tangan!

“Tasya..Tasya…erghhhh…lepaskan weiii.” Ronta Kamil.

Dengan sepenuh kekuatan, Tasya melemparkan Kamil ke dinding. Kepala mendarat betul-betul di dinding bagaikan peluru meriam menghentam tembok. Dia jatuh didahului dengan bahu yang menjumpai lantai. Dia cuba bangun namun tidak berdaya.

Dihadapannya Tasya berjalan sambil merangkum lehernya sendiri dengan kedua tangannya. Dia maju menghampiri Kamil secara berdikit-dikit dengan badan yang terketar-ketar dan kemudiannya tumbang dengan lututnya mencium lantai dan badan jatuh mengiring ke sisi. Dadanya mula berombak dan mulutnya berbuih. Dia mula memuntahi cecair merah keungguan dengan banyak sekali.

Tak lama kemudian kelihatan bagai ada dua tangan kecil dari dalam mulut Tasya menolak dan merobek mulut Tasya bagaikan menyediakan ruang lubang untuk sesuatu yang bakal keluar. Muka Tasya dikoyak sehingga bagai terbelah dua.

Mata Kamil terbeliak cemas. Kamil tidak mampu berbuat apa-apa melainkan hanya mampu menonton peristiwa pelik itu. Dia cuba bangun namun tenaga badannya menggagalkannya. Kepalanya pening bagai dunia di sekelilingnya berputar ligat.

Tak lama kemudian mulut Tasya Berjaya dirobek lebih luas. Dan dari mulut tersebut keluarlah makhluk seperti bayi kecil dengan rambut yang amat panjang- terketar-ketar bagaikan makhluk dari filem Gremlins.

‘Bayi’ kesejukan itu bergelut untuk mengeluarkan badannya dari ‘Tasya’ dan sikit demi sedikit bayi tadi Berjaya merangkak keluar dari sisa-sisa badan Tasya yang kini leper bagaikan kostum maskot yang ditanggalkan.

Sedikit demi sedikit bayi telanjang berambut panjang tadi berhasil keluar meninggalkan ‘Tasya’ lalu merangkak ke arah Kamil. Tersisa banyak lendiran hamis bercampur masam yang agak harum dibadannya dan kira-kira dua kaki jaraknya dari Kamil, bayi yang terketar tadi berhenti merangkak dan ia bagai tertidur keletihan. Dan pada masa yang sama, jejari bayi tadi tumbuh memanjang dan dengan perlahan bayi tadi terus membesar.Dan Kamil sendiri hanya mampu melihat dan tak lama kemudian, pandangannya semakin kabur dan kemudian tenggelam dalam ketidaksedaran.

Lebih sejam berlalu dan akhirnya Kamil bangkit dari pengsan. Dan dihadapannya terdapat sekujur tubuh wanita dewasa tertiarap tidak berpakaian yang masih belum sedarkan diri. Masih tersisa lendir-lendir di badannya. Tangannya bergerak-gerak dan matanya mula berkelip.

Kamil sedikit pulih dan tenaganya sudahpun kembali ke badannya. Dai berusaha bangun dan berhasil bangkit. Ketakutan masih belum meninggalkannya. Dia memberanikan diri mendekati ‘Tasya baru’ di hadapannya. Di hujung sana terdapat ‘Tasya lama’ yang berupa kulit dan cairan, menggeleber bagaikan tiub getah, bagai ular bersalin kulit.

Seperti tayar yang tiada angin. Kamil menghampiri longgokan kulit tadi. Bau hamis dan bau wangi bercampur masam berlegaran di udara. Di belakangnya, Tasya mula mendongak untuk bangkit dan tangannya ditolak ke lantai membangunkan dirinya. Kamil mencuit sedikit lendir merah keungguan dan diletakkan di hadapan hidungnya. “Bau cili Sos?” Tiba-tiba terbit dari mulutnya tanpa sengaja.

Dalam kekeliruan itu, tiba-tiba Kamil terdengar bunyi getaran telefon. Matanya mencari sekeliling. Dia masih menggeletar. Didapati telefon berada tidak jauh darinya dengan wayar powerbank masih tertusuk di slotnya. Dia memandang Sasha dan dan kemudian berpaling dan mula melangkah mendapatkan telefonnya. Telefonnya diangkat. Dia mendapati sejumlah mesej whatsapp. Mesej pertama yang dibukanya adalah dari nombor asing tadi. Dibukanya mesej dari nombor asing tadi.

. “Hi beb. Ni nombor baru aku Sariff….Errr…Ada kau jumpa perkara pelik?” Tertulis dalam mesej pertama tadi. Kamil menutup telefon dan meletakkannya ke dalam poket memisahkan kabel dari powerbank. Dia mula menuju pintu untuk keluar dari bilik tersebut-dengan penuh keliru. ‘ Tasya yang hidup’ mula berdiri cergas, menghampiri ‘longgokan kulit,’ mencabut  pakaian dari kulit leper ‘Tasya yang mati’ dan mengasingkannya ke tepi dan kulit tadi dibuangnya ke beg plastik sampah hitam, penuh satu plastik-dan dia mula melangkah mendapatkan mop lantai meletakkan beg sampah tadi ke tepi, melihat Kamil dengan wajah sepi, bagai tiada apa- pun yang terjadi.

Matyie Abahaydar

16/12/2016



***********************************
Jika anda suka apa yang anda baca, pergi ke home (klik LIPASLITERASI di atas) dan jemput baca cerpen-cerpen yang lain.

Dapatkan novel PARAMALANG. whatsapp ke 019-3020248