Sekolah
tersebut adalah sebuah sekolah yang agak berusia. Aku difahamkan ianya adalah
antara sekolah rendah terawal di Pulau Pinang. Banggunannya masih lagi tersisa
ciri-ciri colonial namun blok-blok baru sekolah ini agak moden dan
meneggelamkan ke-gah-an senibina lama tersebut. Dan ketika aku mula berpindah
ke Pulau Mutiara ini, sekolah ini dipilih untuk menempatkan anak aku aku kerana
lokasinya. Ianya dekat dengan rumah dan mudah untuk aku menghantar dan mengambilnya
dari sekolah kerana ia sama arah ke tempat kerjaku. Bukan kerana prestijnya
sekolah tersebut atau apa-apapun kelebihan sekolah ini. Hanya kerana lokasi.
Yang memeningkan adalah,
anak aku sedikit bermasalah. Masalah pergaulan mungkin. Mungkin salah aku juga.
Mungkin agaknya salahnya pada pekerjaan yang aku ceburi ini. Dalam masa enam
tahun, sejak dia berada di darjah satu dulu, sudah lima kali aku berpindah
tempat kerja atas arahan majikan. Dan anakku yang sorang ini, memang sukar
untuk mendapat kawan. Dia penyenyap dan sukar menyesuaikan diri dengan tempat
baru. Dan bila dia mula membuat kawan, tugasku memaksa aku berpindah, dan
memaksa dia berpisah dengan kemesraan dan persahabatannya di setiap sekolah yang
di’huni’nya. Dan kerana itu, aku seakan merampas kebahagaiaanya. Dan juga
mulut, keyakinan dan jatidirinya. Agaknya dia tidak mahu lagi membuat kawan dan
bersahabat. Apa perlu dia berkawan kalau tak lama kemudian mereka akan berpisah.
Agaknya itu yang difikirkannya.
Dan
yang paling penting, dia merindukan ibunya. Perpisahan bukanlah sesuatu yang
diinginkan namun apa yang berlaku… berlaku. Mungkin kerana tugasku ini punca
runtuhnya rumah tangga kami. Dan kerana itu Syakilla, puteriku yang sulung ini
berpisah dengan dua adiknya yang masih kecil itu. Itu perjanjian kami suami
isteri, pembahagian anak-anak. Aku tak mahu terputus kekeluargaaan ini. Kami
berpisah cara baik dan aku masih ada hati pada ibunya dan berharap kami akan
bersatu lagi. Mungkin aku patut mula menulis surat perletakan jawatan dan mula
mengintai kerja baru. Kerja ini merampas terlalu banyak perkara dariku. Dan
kini aku hadapi anak yang bermasalah ini. Kalaulah ibunya ada. Haisss…
Aku masih berada di
kereta. Kereta ibu bapa tidak dibenarkan memasuki perkarangan sekolah maka aku
menunggu untuk adanya ruang kosong untuk aku meletak kereta di tepi jalan. Banyak
pula deretan kereta di pinggir sekolah ini. Dan yang paling menyiksakan adalah
Puan Hamidah. Malas benar aku untuk mengadap Puan Hamidah. Ada saja perkara
remeh yang nak diberitahu.
Perjumpaan
lepas, dia asyik menyatakan ada perkara pelik pada anakku Syakilla. Katanya,
murid lain takut untuk mendekatinya. Katanya perangai Syakilla menyukarkan para
guru. Katanya Syakilla sedikit berkonflik dengan rakan-rakan sedarjahnya. Dia
jadi bahan ejekan rakan-rakan, dipulau dan seterusnya memberontak. Dia malah
mebahayakan, membahayakan secara fizikal.
Mustahil!
Illa bukanlah seorang yang degil, dan jauh sekali dia ditakuti. Dia Cuma
pendiam, dan mungkin kurang pandai bersahabat. Dia mungkin suka menyendiri
namun dia bukanlah seorang yang menyusahkan atau membahayakan. Mustahil.
Memang
ada sedikit perubahan pada Illa semenjak dua menjak ini. Yang pertama
kelakuannya. Yang kedua igauan malamnya. Hampir setiap malam dia mengigau.
Kadangnya mengerikan juga. Entah bahasa apa yang terbit dari mulutnya hasil
dari igauannya. Pernah aku tersedar dari tidur apabila dia mengilai dengan agak
kuat. Bila aku kebiliknya, dia sedang tersenyum memeluk lutut. Dipandangnya
muka aku sambil tersengih bagai mengejek beberapa saat, kemudian kepalanya
kembali ke bantal dan dia mula tidur.
Kebiasaannya pada
keesokan harinya, aku akan bertanya dengannya, mimpi apakah pada malam tadi.
Biasanya dikatanya dia tidak ingat. Kadang kala dia langsung senyap. Minggu
lepas sedang dia menjamah roti dan lepa kacang kegemarannya, aku bertanya lagi.
Seperti biasa dia susah untuk menjawab. Namun perasaan ingin tahu melandaku.
Lantas ku usahakan lagi bertanya bertalu- talu,kalau-kalau dia ingin berkongsi
tentang mimpinya. Namun kali ini dia menjawab dengan sesuatu yang pelik dan
juga bagiku sedikit menyeramkan. Apa
tidaknya, bila ditanya, dia hanya tersengih sinis, kemudian dikeluarkan
lidahnya dan mula menjilat pangkal sudu dengan rakus sambil tersenyum hingga ke
hujung menemui sisa-sisa lepa kacang yang terlekat di lekungan dalam sudu itu.
Kemudian, disengetkan mukanya ke kiri dan memandang tepat ke mataku dan dia
bertanya, “kenapa…takut?”
……………………………………………………………………………
Aku sekarang berada
dipersilakan ke bilik Puan Hamidah. Sebelum aku masuk ke bilik, seorang lelaki
berseluar jeans dan t-shirt lusuh berada di luar biliknya memandangku dari atas
ke bawah. Usianya dalam pertengahan 50an jika dilihat dari bawah otot matanya
yang jatuh dan kulit tengkuknya yang sedikit menggelebeh dan ubannya. 50an,
mungkin juga lebih. Aku memberi salam dan dia menjawab salam dan kemudiannya
berlalu pergi tergesa-gesa beredar dari situ sambil mulut terkumat-kamit.
Sebentar kemudian
Puan Hamidah datang bersama fail di tangannya. Dia kelihatan gelisah. Di
kepalaku, aku sudah bersedia untuk menerangkan bahawa perangainya mungkin
berpunca dari perpisahan kami suami isteri. Pelbagai ayat dikarang di kepalaku
dan diharap dia sebagai guru bakal faham apa yang dihadapai oleh Syakila.
“Encik Azwan…hmmm. Maaf
kalau saya tanya. Ada atau tidak Syakila Adeeba berperangai pelik di rumah?”
Puan Hamidah memulakan bicaranya.
“Takde sangat puan.
Dia selalunya bersendiri sahaja. Mmmm…boleh saya tahu, ada perkara apa yang
terjadi kat dia?”
“Susah saya nak
explain.” Kata Puan Hamidah. “Saya terlalu banyak kali mendengar laporan dari
rakan-rakan muridnya yang dia…hmmm…”
Hmmm. Aku cukup malas
berhadapan dengan keadaan remeh seperti ini. Bukan aku tidak mempedulikan anak,
tapi budak adalah budak, dan kanak-kanak ini pelabagai fe’elnya.
Puan Hamidah mual
mencari ayat. “Errr…ada dia berperangai…”
“Hmmm.. beginilah
Puan. Saya rasa sebab perceraian. Maksud saya macam ni. Mungkin sebab
perpisahan kami suami isteri, perangainya semakin pelik. Saya rasa dia buat
perangai macam ni semua sebab protes. Dia nak duduk dengan maknya sebenarnya.”
Kataku laju memotong percakapan dan sedikit tidak sabar.
“Bukan macam tu,
dia…dia jadi sedikit ganas.”
“Ganas?” Tanyaku.
“Semalam, budak
lelaki datang dengan leher yang berdarah, Syakilla mengamuk katanya. Budak tu
digigitnya.” Puan Hamidah menerangkan dengan nada serba salah.
“Siapa yang gigit?
Syakilla?” Aku meminta kepastian.
Tiba-tiba kekecohan
berlaku di luar.
“Dia buat lagi, ada
kat tandas sedang panjat dinding!” Kata seorang guru dan terus keluar dari
pejabat dan diikuti oleh seorang yang lain. Mereka yang berbaki di pejabat
masing-masing dengan riak muka ingin tahu..
Seseorang datang
menemui Puan Hamidah dan mengangguk. Tanpa berkata apa-apa, bagaikan sudah
maklum, Puan Hamidah terus mengajakku mengekori beberapa orang yang kelihatan
agak panik.
Beberapa pelajar
perempuan tumbang sambil menjerit histeria. Seorang menggelupur hingga habis
baju kurungnya terselak hampir ke atas pusat. Beberapa yang lain menangis
kerana takut. Sekumpulan budak lelaki sedang berkerumun cuba untuk menyaksikan
‘pesta’ keriuhan namun dihalang oleh seorang guru.
Di luar bilik air,
kelihatan lelaki 50an yang berseluar jeans tadi sedang membaca sesuatu,
bagaikan mentera bercampur ayat al Quran. “Panggil ayahnya masuk!” Arahnya
sambil tangannya mengarahkan ke arahku.
Aku terkebil-kebil
kehairanan. Lelaki tadi datang menarik tanganku dan terus memasuki tandas
pelajar perempuan tersebut. Bau hancing menangkap hidung. Pelik tiada sesiapapun
di situ.
Si lelaki tadi merangkul
mukaku ke arah dinding belakang. Aku terkejut bukan kepalang. Syakilla sedang
berada di dinding. Kaki tangannya melekat bagaikan cicak hampir sampai ke siling
dengan kepalanya menghala ke bawah.
Mata hitam Syakilla
lebih besar dari biasa. Mulutnya dipenuhi liur berjuntai jatuh ke dagunya.
“Inch’pes yes
hamardzakvum gal tesnel indz!,”
“Inch’pes yes
hamardzakvum gal tesnel indz!!!!” Jerit Syakilla berkali-kali dengan suara
garau menggelegak dalam anak tekak.
Matanya tajam
memandang lelaki tersebut. Dia kemudian tersenyum. Dia menjilat lendir ludahan
disekeliling mulut, kemudian menyedutnya dalam dan panjang dan kemudian dengan
tiba-tiba diludahnya cecair tadi memancut laju menuju muka si pakcik tadi.
Sedikit ludahan
terkena pada dahi dan rambut si lelaki berambut yang makin memutih itu.
“Inch’pes yes
hamardzakvum gal tesnel indz!,”Ulangnya lagi dan kemudian Syakilla mula ketawa
dengan kuat dan garau menampakkan gigi kuning kehitaman dan tidak rata.
Bila si lelaki tadi
membaca Sesuatu, Syakilla mula marah dengqn suara garaunya dan si gadis tadi
dengan tenaga luar biasa datang meluru, bertapak laju bagaikan cicak ingin
menyerang pakcik tadi. Apabila sampai ke dinding tepi belah kanan, Syakila melompat
dari dinding menerkam ke arah pakcik tadi.Kira-kira satu meter dari tubuh
pakcik, Syakilla jatuh ke lantai dan pengsan dengan mulut berbuih-buih.
………………………………………………………………..
Jam menunjukkan pukul
sepuluh malam. Di pangsapuri sewaku ini, TV terpasang namun suaranya dibisukan.
Hanya bunyi kipas mengaum kuat dengan kelajuan maksimum. Sesekali bunyi cicak
hadir mengherdik.
Tak lama kemudian,
sampailah beberapa guru lelaki, Puan Hamidah dan juga Pak Hambali, lelaki tua
berseluar jeans tadi. Rupanya dia adalah tukang kebun yang telah lama
berkhidmat di sekolah itu.
Syakilla sedang tidur
di bilik. Pak Hambali bergerak dari dinding ke dinding bagai mencari sesuatu.
Dikeluarkan dari bagnya sebuah lampu UV dan memasangnya maka terkeluarlah
cahaya biru.
“Ini biliknya ke?”
Tanya Pak Hambali.
Aku menganggguk.
“Tolong tutup pintu,
langsir tingkap dan tutup lampu.” Kata pak Hanafi. Dengan pantas guru-guru lain
pergi menurut arahannya. Suis lampu diketik dan apabila lampu dipadamkan, maka kelihatanlah
lukisan symbol-simbol occult pemujaan di dinding yang hanya boleh dilihat
adengan lampu UV tadi.
Corak lukisannya
penuh dengan symbol yang menyeramkan. Ada lukisan pentacle bintang bucu lima di
dalam bulatan dan juga bulatan bercorak bunga. Terdapat juga symbol bulan, api
dan satu figura seperti kambing terlukis elok- yang mustahil ianya dilukis oleh
budak berusia 12 tahun. Lukisan symbol itu bukan sahaja meliputi dinding, malah
ke siling! Lampu dinyalakan kembali dan symbol-simbol tadi hilang dari
pandangan.
“Angkat dia ke bilik
yang lain,” Perintah Pak Hambali. Aku datang mengangkatnya secermat mungkin dan
meletakkannya di lantai bilik kosong tempat kuletetakkan lipatan pakaian dan
sebagainya. Dia masih lagi nyenyak tidur. Sejak kejadian tadi dia hanya tidur,
Cuma sesekali dia meminta air dan biskut.
Beberapa orang tadi
datang mengerumuninya, duduk di empat penjuru bersama air mineral, limau nipis,
bekas tembaga, keris kecil dan beberapa peralatan yang lain. Biasanya melihat
kepada perubatan sebegitu, aku akan memprotes kerana bagiku ia adalah karut.
Namun kali ini, aku bingung dan membiarkan sahaja.
Tak lama kemudian,
Syakilla terjaga. Dadanya bergelombang dan pandangannya tajam kepada semua di
sekelilingnya. Dia cuba berdiri tetapi dipegang oleh mereka di sekelilingnya
tadi. Tak lama kemudian, bacaan dikuatkan. Ada suara garau meronta-ronta. Di
hantuknya kepalanya ke lantai berkali-kali dengan kuat bagaikan mensabotaj
‘jasad’ yang ditumpangnya..
“Ambik bantal, letak
bawah kepalanya.” Perintah Pak Hambali. Aku berlari mendapatkan bantal dan
kembali meletakkannya di bawah kepala. Dia masih berterusan mengahntukkan
kepala.
Leher Syakilla menjadi
pucat dengan penuh urat-urat kehijauan terserlah di bawah telinga. Sungguh kuat
rontaannya dan pegangan sekelian lelaki tadi terlepas. Dia kemudian menikus
sambil merangkak laju ke sudut bilik. Dia duduk sambil memeluk bahunya,
menggeletar dan mulutnya berbunyi bagaikan anak anjing ketakutan. Matanya liar
melihat semua orang.
Pak Hambili menghampirinya.
Direnjiskan air beberapa kali sambil mulut dengan bacaan tertentu. Sebentar
kemudian Syakilla batuk-batuk dengan bunyi yang keras lalu dikeluarkan dari mulutnya
lendiran hitam berketul-ketul pekat bagaikan pecahan organ dalaman dan baunya
amat amatlah hanyir.
………………………………………………………
Setelah hampir
setengah jam Pak Hambali datang menemuiku. Di dalam, Puan Hamidah sedang
menyapukan air berkali-kali di dahi Syakilla yang masih tidak sedarkan diri.
“Ini bukan kes
pertama Cik Azwan. Sepuluh tahun lepas, beberapa budak terkena perkara yang
sama, namun tak seteruk anak Cik.”
“Sepuluh tahun
lepas?” Tanyaku.
Dia menceritakan
bahawa kawasan sekolah itu telahpun pernah di’pagar’. Namun entah bagaimana,perkara
tu terjadi kembali. Menurutnya, rasukan itu hanya terjadi melanda kepada kanak-kanak
yang mempunyai keistimewaan tertentu, dapat melihat sesuatu yang biasanya tidak
dapat dilihat orang; dan Syakilla adalah salah seorang budak istimewa tersebut.
Katanya lama dahulu,
tapak sekolah itu dahulu didiami komuniti pendatang Bangsa Armenia. Mereka
adalah bangsa pedagang sepertimana banyak bangsa-bangsa lain yang menumpang
tuah di bumi pulau itu.
Dan salah seorang
wanita golongan tersebut dipercayai mengamalkan Ilmu yang ‘tidak elok’. Ya atau
tidak tidaklah diketahui. Tapi menurut ceritanya, setelah banyak kejadian pelik
dan juga kematian terjadi, komuniti tersebut berpakat untuk menuduhnya sebgai
dalang segala peristiwa malang yang terjadi. Mereka mengepung rumahnya selama
beberapa hari.
Pada suatu malam,
para pendatang ini masuk ke rumahnya dan mengheretnya dan dipaksanya memasuki
lubang yang telah digali. Wanita itu kemudian ditanam hidup-hidup dan
dipercayai tangki air besar di sekolah tersebut adalah tapak di mana
tertanamnya jasadnya. Dan Syakilla saya perhatikan suka betul menyendiri di
kawasan tangki air itu, becakap seorang diri.
“Beginilah Cik Azwan.
Seeloknya, saya cadangkan jangan la bawa Syakilla ke kawasan sekolah tersebut
walau sekalipun lagi. Tukarlah dia ke sekolah lain. Kami bukan nak menghalau
tapi kami rasa ianya adalah untuk kebaikan Syakilla sendiri.” Kata Pakcik
Hambali sambil memegang bahuku.
………………………………………………………………….
Hari ini, aku
menamatkan hari terakhirku bekerja di syarikat itu setelah sebulan notis. Di
depanku adalah kotak yang ku isi beberapa perkara yang penting yang aku rasa
perlu untuk dibawa pulang. Malam ini ada jamuan perpisahan yang dianjurkan oleh
kelab staff pejabatku.
Telah empat bulan
kejadian itu berakhir dan Syakilla sekarang dikhabarkan makin ceria tinggal di
rumah ibunya di Kuantan. Sejak kejadian itu, Syakilla tidak lagi menjejaki
sekolah itu walau sekali dan setelah difikirkan dengan cermat, pilihan terbaik bagiku adalah untuk menghantar
Syakilla tinggal bersama dengan ibunya.
Dan dengan ibunya, ada
perkembangan yang memberangsangkan juga. Ada bibit-bibit cahaya yang
memungkinkan aku kembali lagi bersamanya. Ini semua kerana anak-anak. Aku pun
bakal menerima jawatan baru di Kuantan. Gajinya, gajinya jauh lebih rendah dari
pendapatanku sekarang namun keluarga lebih penting dan aku rasa aku telah
melakukkan perkara yang betul. Cukuplah jawatan ini mencuri banyak perkara
dariku.
Telefon berbunyi dan
kutelek, ianya adalah panggilan dari Azreen, ibu Syakilla sedang menelefon.
“Hello, awak free tak
ni?” Kata Azreen membuka bicara sebelum sempat aku mengucapkan hello.
“Boleh cakap, ada
apa?.”
“Awak balik ke
Kuantan minggu depan kan?”
“Ye, minggu depan.”
Jawabku ringkas.
“Budak-budak ni
berkali bertanya bila awak nak jumpa diorang. “ Kata Azreen. “Syakila dah mula
buat perangai. Terlalu rindukan awak agaknya.”
“Hmmm, budak-budak. Perangai
macam mana,”
“Malam tadi, dalam
pukul 10 lebih…” kata Azreen sambil mengeluh panjang. “…dia bawak gambar awak
lepas makan tengahari, dia keluar pergi dekat balkoni rumah dan dia panjat atas
pagar besi balkoni tu dan dia duduk sorang-sorang atas pagar besi tu, kaki
berjuntai mengadap rumah depan. Nasib baik tak jatuh….”
“Ishhh…” Keluhku.
“Saya tengah basuh
pinggan kat bawah, saya panggil dia tak ada. Adik dia kata dia kat atas, kat
luar tengah meniti pagar dinding balkoni. Saya naik tengok dia duk
sorang-sorang pegang gambar awak. Tinggi tu, kalau jatuh macamana?”
“Haisss…Bagitau dia elok-elok.
Cakap saya balik minggu depan. Boleh bagi telefon kat dia, saya nak cakap
dengan dia.” Kataku.
“Kejap. Illa nak
cakap dengan Abi ke?” Tanya Azreen pada Syakilla dan sebentar kemudian
terdengar bunyi suara Syakilla berkata ‘hello’.
“Hello Illa,”
Tanyaku.”Illa sihat?”
“Dah.” Jawab Syakilla
pendek
Dah makan?” Tanyakuu gopoh.
“Dah.”.
“Macamana duduk sana,
ok?”
“Ok. Jawabnya, juga
pendek.
“. Ehhh, Illa. Kenapa
Illa duduk atas balkoni tadi. Kan tinggi tu? Jangan buat perangai macam tu lagi
tau? Kenapa duduk atas pagar balkoni rumah tu, bahaya tu kan? Kalau jatuhhh?…”
Kataku melarang.
“Hmmm…” Jawab
Syakilla.
“Kenapa Illa duduk
atas pagar balkoni tu?” Aku bertanya lagi.
Terdengar sengihan
kecil di hujung talian kemudian senyap tanpa apa-apa perkataan. Tiba-tiba
Syakilla menjawab. “ Mmm….kenapa… Takut?”.
Mendengar ayat itu,
serta merta darah naik ke kepalaku dan bulu tengkukku mula berdiri dan badanku
mula menggeletar. Tak semena-mena aku memutuskan talian. Bunyi telefon pejabat
di luar mengejutkan aku dari kejutan.
Aku tak tahu adakah
ayat itu memang darinya. Aku tak tau samada Syakilla sudah benar-benar bebas
dari gangguan. Aku tak tau adakah ia timbul kembali setelah sekelian bulan.
Yang nayatanya sekarang aku bergegas mula menekan butang telefon mencari nombor
Pak Hanafi.
************************************************************************************
Feel free to share di Facebook, ika anda suka apa yang anda baca, pergi ke home (klik LIPASLITERASI di atas atau di sini, dan jemput baca cerpen-cerpen yang lain.
Saya juga ada menulis novel berjudul Paramalang (424 mukasurat), Sebuah novel urban tentang harapan, cinta, perahabatan, kekecewaan, erti kehidupan dan punk rock! Dapatkan novel PARAMALANG. whatsapp ke 019-3020248 (Matyie Abahaydar
Saya juga ada menulis novel berjudul Paramalang (424 mukasurat), Sebuah novel urban tentang harapan, cinta, perahabatan, kekecewaan, erti kehidupan dan punk rock! Dapatkan novel PARAMALANG. whatsapp ke 019-3020248 (Matyie Abahaydar
No comments:
Post a Comment