Wednesday, June 1, 2016

KELUAR

            Kau pernah dengar ada orang cakap ‘blessing in disguise’ atau dalam melayunya ada jugak, orang kata, ‘ada hikmah di sebalik kejadian.’ Aku tak tahu nak percaya ke tak.  Yang nyatanya apa hikmah pun aku belum nampak setelah banyak perkara buruk terjadi kata aku dua tiga menjak ni.

            Hidup aku miserable. Aku pokai. Takde kerja, awek lari, kereta nak kena repossess . Semalam dapat panggilan dari card collection centre, cakap kurang ajar dengan aku, aku maki dia balik. Aku bukan baik sangat pun- dan time-time macam ni memang aku rasa nak maki orang je manjang.

            Aku bukan kena buang kerja, aku yang resign. Sebab? Sebab awek aku keluar dengan orang lain. Bukan ‘orang’ orang lain. Member satu office aku dengan awek aku jugak. Duduk dua cubicle je dari aku. Bila aku tau diorang ada affair, apa lagi bertumbuklah. Kecoh satu ofis cerita pasal aku. Bila boss aku panggil, dengan boss aku sekali aku maki. Tapi boss aku ni jenis cool. Dia kata takpe, dia faham dengan keadaan aku. Tapi aku yang sombong. Aku bagi sebulan notis lepas tu blah dari company tu. Bagus betul.

Mak aku suruh aku kahwin sebelum umur 30. Takpe mak, Ijal baru 28. Ada dua tahun lagi. Sabar mak ye.

            Sampai kat kedai mamak aku cabut tie. Belum pun pukul sebelas, panasnya yang amat! Aku baru je balik dari interview. Byte Me Network. Catchy nama syarikatnya. Company Web Hosting Provider. Tak nampak jalan gamaknya. Resume aku tak cantik dan graduate IT bersepah kat Malaysia ni. Aku ambik surat panggilan temuduga tu, aku keronyokkan dan aku campak dalam pinggan kotor yang dari tadi tak berangkat sebelah meja aku. Mamak tu pandang je. Aku buat bodoh.

            Sebenarnya, aku ada masalah sikit. Selain dari masalah aku yang dah enam bulan tak bergaji, ada masalah tambahan. Aku sekarang tengah pelihara mayat hidup kat rumah. Zack. Zakaria bin Abdul Halim. Kawan masa study yang squatting kat rumah aku dah dekat tiga bulan.

            Bila tak bergaji ni, aku mula jadi creative. Aku duduk kat apartment sorang-sorang. Kawan-kawan lain yang menyewa kat situ keluar sorang-sorang. Rumah tu ada tiga bilik. Kalau aku sewakan lagi dua bilik, lepas sewa rumah aku. Sewa agak OK, seribu sebulan. Tapi gila kau nak menanggung RM1000 sebulan dok situ tanpa kerja. Nasib baik aku ada saving. Tu pun dah kurus dalam akaun. Aku survive dengan buat Forex sikit-sikit tapi masih tak dapat nak tampung.

            Masalah sekarang macam mana nak suruh Zack keluar dari rumah tu. Bukannya aku zalim sangat tapi ekonomi tak mengizinkan. Zack mesti keluar. Dok kat KL ni mesti kejam beb. Nak buat macamana, nak hidup.

            Bila aku balik nanti, rasanya, macam biasa dia akan duduk depan TV pakai boxer petak dia. Kalau tak memekak dengar lagu grindcore dia mesti tengah layan game. Tak pun belasah main lap top aku. Itu je kerja dia hari-hari. Jangan salah faham, aku seronok kalau dia ada, tapi tu laa, tengah-tengah macam ni, aku terpaksa suruh dia keluar beb. Tapi masalahnya macamana cara terabik untuk aku cakap.

            Zack ni kawan sebilik aku first year masa study dulu. Memang kami rapat. Dia ni kelakar, pandai tapi pemalas nak mampus. Perangai dia sama je sampai sekarang. Melepak sambil pakai boxer. Dia ni boleh tahan jugak suka layan berdengung. Kalau game jangan cakap la, boleh duduk sampai tak tidur malam. Tak mandi satu hari tu standard. Dia ingat dia dok England ke? Dah la malas basuh baju. Kalau terdesak sangat T-Shirt aku dibelasahnya. Tension jugak aku tapi nak buat macam mana.

            Yang bagusnya tentang dia ni dulu, dia pandai cari duit poket sendiri. Ada je duit dia. Setau aku dia buat bisnes barang-barang computer. Dan dia ni sangat tak berkira. Time aku pokai, dia la yang bagi pinjam duit. Dan tak pernah sekali pun dia mintak balik duit dia. Aku pulak kadang-kadang aku bayar, kadang-kadang tak. Yang nyatanya, dia tak pernah mintak.

            Seingat aku diia ni kadang-kadang ada jugak cakap besar. Kalau kau tak kenal dia boleh percaya jugak kalau dia kencing macam-macam. Dia pernah cakap yang dia pernah keluar dengan salah seorang artis ni sebelum artis pompuan ni glamer. Mula-mula aku percaya. Lama-lama, hmmm…layan je lah. Tak larat dengar dia kencing kerap sangat. Basah kepala aku nanti kang.

Masuk second year dia dah pindah bilik. Aku dengar dia melepak dengan geng-geng berdengung dia tu. Ada satu masa tu kecoh sebab ada rush dari HEP. Bilik dia pun kena. Lepas dari tu aku tak dengar khabar dari dia langsung. Yang pastinya dia tak belajar kat situ lagi dah.

Last sekali aku jumpa dia dalam beberapa bulan lepas tu. Aku tengah jalan kaki Nampak dia dua-tiga orang dalam kereta MyVi. Aku angkat tangan kat dia dan dia senyum kat aku. Lepas tu tak jumpa-jumpa lagi dah. Nombor fon dia pun aku takde.

Sampai la dekat tiga bulan lepas. Aku jumpa dia jalan sorang-sorang kat satu jalan kat Bangsar. Rambut kusut masai, pakaian selekeh. Aku tegur dia, dia tenung muka aku lama-lama. Lepas tu dia tanya. “Rizal, kau buat apa kat sini?”

Dia tanya aku boleh tak dia crash rumah aku beberapa hari. Aku kata apasal, kau kena halau dari rumah sewa ke apa?. Dia senyap je. Aku serba salah. Last-last, aku bawak dia balik rumah.

Masa mula-mula tu risau jugak aku. Takut jugak dia dah main barang ke apa. Hilang pulak barang-barang dalam rumah tu kena kibau nanti kang. Tapi takde yang hilang melainkan rokok aku. Tu standard la, takkan nak berkira jugak.

Dalam dua tiga hari tu dia macam blur semacam. Tak berapa bercakap. Termenung je lebih. Aku naik risau. Serba salah pun ada. Lepas dekat seminggu baru dia ceria balik. Seronok jugak la masa tu. Dia dah jadi diri dia balik. Buat lawak-lawak bodoh dia. Selalu ajak aku keluar. Pergi bundle la, ajak aku pergi tengok wayang la. Seronok pulak lepak dengan dia ni. Memang kepala best.

Tapi yang pelik, tiap kali aku tanya hal kerja dan life dia, mula la dia mengelak. Cara mengelaknya dengan lawak-lawak bodoh dia la. Bila aku tanya pasal dia pergi mana lepas second year, dia kata dia berhenti sukarela. Dia malas nak belajar. Pembohong betul. Macam la aku tak tau yang bilik dia kena rush. Semua budak tahu, kuat betul kencingnya.

Satu lagi yang misteri tentang dia ni, tiap kali dia dapat call, dia akan msuk bilik, tak nak bagi aku dengar. Misteri sungguh. Lepas tu kadang-kadang hilang, ada ketikanya sampai tak balik tiga hari.

Dia tak bukak mulut tentang diri dia sampai lah baru-baru ni. Dia cakap kat aku yang dia ada buat company sendiri. Dia CEO kat company tu. Aku gelakkan je lah. Dia kata dia serius. Aku cakap pegi tidur lah. Malas aku nak dengar dia mengarut.

Apa-apa pun, aku kena jugak mintak dia keluar rumah tu.

Matahari dan condong ke zohor. Aku baru sampai kat rumah. Aku tak berani bawak kereta takut kena tarik. So dua tiga menjak ni aku travel dengan LRT je lah. Dalam kepala aku ligat cari ayat- ayat terbaik nak bagi kawan tu faham yang dia kena pindah. Aku siap tapaukan makanan kat dia. Aku sayang kat dia sebagai kawan tapi jujurnya aku dah tak larat nak tanggung dia. Aku nekad nak bagitau hari ni jugak. Apa yang dia buat sekarang ye? Mesti macam biasa, layan game dengan boxer tanpa baju.

Bila aku bukak pintu tengok takde orang kat dalam. “Dia pergi keluar makan kot?” aku cakap dalam hati. Takpelah. Aku pun masuk bilik. Sampai dalam bilik, aku tengok beberapa helai t-shirt aku yang dia pakai dah dibasuh dah terlipat elok sebelah bantal. Pelik jugak. Kat atas bantal, aku terperasan ada satu sampul surat bill kad kredit aku yang lama. Aku telek dan di dalamnya ada satu kertas berlipat. Aku bukak untuk baca.

Kepada Ijal.

Tq sebab bela aku selama hampir tiga bulan ni. Macamana interview kau? OK? Kau ni bila lagi nak kerja ni, asyik dok rumah je, hehehe.

Ijal. Aku nak bagitau kau yang kau telah selamatkan aku masa kau jumpa aku hari tu. Percaya atau tidak, kalau aku tak jumpa kau, aku dah naik banggunan untuk terjun. Aku beberapa kali cuba untuk s’uicide’ tapi aku takut. Dan pagi tu, aku baru saja lepas tengok youtube yang seseorang terjun bangunan. Hari tu aku betul nekad. Aku nak naik apartment aku tingkat 10 dan terjun.

Beb. Aku menderita dengan depression agak lama. Macam yang kau tau, aku drop out dari uni dan sejak tu aku kerja-kerja dan kerja. Aku takde masa untuk diri aku sendiri. Aku takde life. Hidup aku kosong dan tiba-tiba aku jadi depressive.

Aku dah berkali jumpa shrink tapi tak work out jugak. Aku tak tahu tujuan hidup aku. Aku mengalami tekanan kerja yang sangat hebat. Aku rasa macam kena buli kat semua orang kat pejabat aku. Aku cuba lepaskan dengan weed tapi tak boleh. Tekanan kerja sangat mencengkam. Aku mula start menyendiri dan lari dari orang. Aku tak tahu ke mana kerjaya aku nak bawak aku. Aku takde siapa-siapa pun dalam hidup. Takde kawan dan takde orang yang rapat dengan aku.

Pada malam  kau jumpa aku tu, aku bercampur baur, sedih, takut, keliru. Macam-macam yang aku fikir. Yang pasti, kecenderongan untuk aku terjun tu sangat tinggi. Kalau lima minit lagi kau tak jumpa aku, aku rasa aku dah arwah.

Sorry menyusahkan kau. Tak berniat pun sebenarnya. Bila aku sedar sikit, aku tak boleh balik ke rumah hari tu takut-takut aku betul-betul terjun. Terima kasih pulihkan aku dengan persahabatan. Sedang elok pulak kau tak kerja sampai berbulan-bulan. Aku ceria balik lepas jumpa kau. Aku baru tahu, dalam kalut-kalut manusia cari duit, masih ada yang care, masih ada kemanusian dalam diri manusia.Thank you for your time, man!. Thank you!

Sebab aku menyusahkan hidup kau, ada sedikit penghargaan untuk kau. Ada sampul surat dalam sampul bantal kau yang warna kuning. (sorry air liur beb. Lupa nak basuh)

Oh, pasal interview kau. Jangan bimbang. Aku yakin, kau akan dapan job tu.Trust me.You can do it. Goooo Rizal!

Ikhlas,

Zack. A. Halim.

            Aku terduduk. Tak tau pulak aku yang aku telah menyelamatkan seorang kawan dari bunuh diri. Tak tahu pulak yang kawan tu nak terjun bangunan. Aku antara percaya dan tak percaya.

            Akhirnya aku menyeluk bantal dan keluarkan sampul dari sarung bantal yang penuh dengan dekorasi air liur itu. Sampulnya agak berat dan betapa terkejutnya aku bila melihat di dalamnya terdapat sejumlah duit note seratus dan lima puluh. Bila aku kira terdapat lima ribu semuanya. Dan kepala aku mula berfikir, “mamat ni pusher ke apa?”

            Bila aku nak masukkan duit tu kembali dalam envelope, sekeping kad jatuh. Di belakangnya tertulis, cash ok? Call aku yek? Dan bila aku pusing kad tu, sekali lagi aku terkejut apa yang tertulis

            Zakaria Abdul Halim. CEO, Byte Me Network beserta nombor telefon dan alamatnya.

            Agak lama aku nak hadam apa yang aku pandang. Antara percaya dan tak percaya. Tiba-tiba terdetik dalam hati yang ini semua real.Teringat aku tentang ceritanya yang dia set up companynya. Aku ingat dia kencing. “Celaka!” aku kata sepatah. Patutlah konfiden aku dapat kerja ni. Bengong punya Zack. Hehehe”.


            Aku pun menyeluk poket untuk mula menelefon. Envelope tadi terkepit di ketiak,dan bila jawab nanti, perkataan pertama yang bakal aku tuturkan adalah “Oi Celaka”. Lepas tu aku nak suruh dia basuh sarung bantal aku. Lepas aku carut dia dua tiga das, barulah aku nak mintak maaf pasal tak percaya cerita dia hari tu. Yang aku tahu, hari ni adalah hari bahagia. Hari yang bakal aku raikan persahabatan.

Oohh, dan, perkara yang aku cakap tentang ‘blessing in disguise tu’,Hmmm… agaknya ini lah dia yang dimaksudkan tu. Agaknyalah!

Matyie Abahaydar.
1/6/2016
11.30 am

Salam, kalau anda suka apa yang and baca, sila kongsikan post facebook ini di wall anda. Pada masa yang sama, saya juga menulis novel di bawah. Dapatkan di www.gerakbudaya.com (fiction/ Bahasa Melayu) atau kedai-kedai di sekitar anda.

CERPEN TERDAHULU (sila klik)





           




Friday, May 27, 2016

DIA TAK TAHU YANG AKU TIPU DIA

Dia tak tahu yang aku tipu dia. Bila dia tanya, aku beritahu dia yang dia cuma demam biasa. Bila kepalanya mula keguguran rambut, aku bilang yang perkara itu adalah biasa bagi mereka yang banyak makan ubat. Dia terlalu muda, baru lima tahun. Tak mengerti apa-apa. Tak sanggup aku bercerita lebih-lebih.

Dia adalah bukti satu perkahwinan. Satu penyatuan antara dua jiwa. Aku pernah memiliki satu jiwa sempurna. Wajah cemerlang dengan sifat yang hebat. Ibunya cukup sempurna bagiku. Seorang yang kelakar pada masa sama pemalu, dan sangat-sangat menjaga maruah. Aku bukanlah seorang yang berakhlak sempurna, tapi dengan dia, dia melayanku seperti  aku maksum. Menjaga makan pakai, memastikan aku sempurna-sesempurnanya.

Ibunya tidak sejelita mana, tapi cukup jelita bagiku. Yang penting, senyumannya cukup manis. Kulit Melayu. Rambut ikal. Sedikit lesung pipit, gigi sedikit berlapis, sederhana tinggi. Senyumannya, ah…, senyumannya sentiasa membuat aku cair.

Katanya aku adalah orang pertama yang dia menyerahkan hati. Perkenalan kami tidak lama. Dia dulunya adalah sukarelawan UNHCR. Pernah ditunangkan dengan sepupu sendiri. Keduanya pilihan keluarga yang inginkan keduanya disatukan. Tunangnya dulu kacak, badannya agak sasa. Namun ada cerita yang tidak memungkinkan mereka bersatu. Cukuplah dinyatakan yang tunangnya dan sepupunya itu sangat akrab dengan sahabat lelaki beliau. Sangat akrab hinggakan urusan perkahwinan ditunda, atau sengaja dilengahkan hingga empat kali.

Dan dia sibuk dengan dunia kesukararelawannya, tiada masa untuk mencantumkan hatinya dengan sesiapa. Apabila usia condong ke angka tiga, masing-masing mendesak untuk dia bersatu.Bagi keluarganya yang sedikit tradisional, umur begitu tanpa teman hidup bagai satu kecacatan.

Aku hadir pada waktu yang cukup tepat.  Duduk di sebelahnya dalam perut AirAsia ke Sabah. Dia dengan urusan kerjanya dan aku dengan kerjaku. Setelah setengah tahun berkenalan, kami bersanding, dan hidup bersama sehingga lima tahun. Dua minggu setelah ulangtahun perkahwinan kami, Nadia, isteriku pulang kepada penciptanya ketika melahirkan Anis.

Dia tak tahu yang aku tipu dia. Wajahnya pucat dan sedang nyenyak tidur. Aku membetulkan tiub drip water yang tertindih di bawah lengannya. Sebelum tidur katanya, bila besar kelak dia dia mahu belajar rajin-rajin dan dia mahu jadi Ana dari filem Frozen. Aku tak pasti apa kena mengena belajar bersungguh-sunguh dengan menjadi Ana. Adakah dia fikir yang Ana itu satu pekerjaan.

Biasanya badannya lemah. Dilemahkan lagi dengan jumlah makanan yang bertandang ke mulutnya. Dia hampir tiada selera langsung akhir-akhir ini. Yang dia mahukan adalah Ribena dan Susu Cokelat, dan acap kali kerana susu cokelat yang melugaikan itu menyebabkan dia termuntah- muntah. Dan aku agak bersyukur kerana polisi insuran yang dibeli untuknya. Kalau tidak, aku tidak dapat bayangkan bagaimana aku mengharung sekelian malam bersamanya di wad hospital kerajaan yang kurang selesa. Ini pun aku menemaninya pada sekian malam tanpa katil.

Pagi tadi dia bertenaga luar biasa. Dalam sakitnya itu, dia tampak sungguh riang. Dia menyanyikan lagu ‘Gummie Bear’ dengan sekuat-kuat kederatnya. Sungguh riang. “I am a Gummie Bear, I am a Gummie, I am a gummie gummie, gummie, gummie gummie bear.’ Diulang berkali-kali persis seorang gadis yang tidak sakit. Aku menepuk tangan menyokongnya. Tapi di dalam hati aku menangis tentang ketidakketahuan betapa serius penyakit yang dideritainya. Mataku berkaca. Selepas sepuluh minit, hatiku makin luluh dan aku meminta diri ke bilik air di bilik luar walaupun tandas tersedia di bilik wad itu. Aku tak mahu dia tahu yang aku sedang bersedih. Sampai ke tandas, aku mengunci pintu dan aku menangis semahu-mahunya. Bahuku bergoyang menghenjut laju tanpa boleh dihenti-henti.

Kenapa malang berulang-ulang malang menempel dalam hidup aku. Kenapa perlu gadis sekecil ini dihukum. Bila aku kembali ke wad aku mendapatinya sedang menonton TV. Dilihatnya di flat scrren yang sedang memaparkan sekawan gadis-gadis sekitar usianya bermain roller-blade.

“Boleh tak abah belikan Anis roller blade please…pretty please abah?”

Aku mengangguk. Entah boleh atau tidak gadis selemah itu bermain kasut beroda itu. Apa jadi kalau dia jatuh? Pandaikah dia menahan jatuhnya dengan tangan. Kalau jatuh tersembam muka? Macam-macam persoalan dalam benakku.

Bagiku aku seorang yang tamak. Tamak dengan nikmat tuhan. Betapa nikmatnya dan bahagianya aku di samping Nadia namun aku mahukan lebih. Aku mahukan tambahan ahli dalam keluargaku. Tamak, sungguh tamak.

Nadia cukup sempurna bagiku, namun ada kekurangannya. Kekurangannya ialah dia belum mampu menganugerahan padaku zuriat. Dan aku tamakkan satu ‘dekorasi’ bagi sebuah keluarga. Macamlah tanpa anak, keluarga takkan sempurna.

Dia tahu yang aku sangat inginkan anak. Dia dan aku kerap berjauhan. Dia dengan kerja sukarelawannya dan aku yang selalu out-station. Agaknya itu penyebab rezeki zuriat kami berat. Aku tidak pernah memintanya untuk berhenti kerja, tapi dia sangat tahu.

Suatu hari aku melihatnya mengangis di bilik. Aku tak mahu mengganggunya. Tak lama kemudian dia keluar dengan wajah yang sangat manis membawa satu mug besar berisi Nescafe Ais yang sangat aku gemari. Dia tersenyum menayangkan senyuman yang amat manis.

“Abang.”
            “Apa dia?”
            “Nad nak bagitau yang Nad dah surrender resignation letter dah.”
            “Kenapa? Tak seronok kerja kat situ?”
            “Dah, letih laa travel selalu.” Katanya tersenyum.

            Aku tahu dia sangat mencintai kerjanya itu. Aku tahu yang dia amat bahagia dengan kerjanya. Tapi dia mengalah keranan ingin mengurniakan aku seorang zuriat. She’s a giver. She gives everything. Dia menyerahkan segalanya, jiwa dan raganya kepadaku. Sepertimana kerja kesukarelawannya menuntut pengorbanan, begitulah dia berkorban, untuk aku, demi aku. Aku, aku dan aku.

            Malam itu di dapur, aku perasan dia menangis bersendirian. Aku datang untuk mengisi air. Dia mengubah mood dan mengesat air matanya. Dan aku menjadi seorang aku, aku, berbuat tidak faham.

            Dia tak tau yang aku tipu dia. Seperti aku tipu dia yang aku akan belikan dia roller blade. Dia pernah bertanya di mana ibu? Buat sekelian kali aku nyatakan yang ibunya di syurga. Katanya, “Boleh tak bila Anis besar sikit, Abah bawak Anis pergi melawat ibu kat Syurga?” Aku mengangguk lagi. Menipunya lagi.

            Setelah empat tahun kami berumah tangga. Dan dua tahun Anis meninggalkan kerjanya, suatu hari dia berlari dari bilik air membawa pregnancy test stick dan dengan  riang dia berkata.
           
“Dua jalur, dua jalur! Abang… dua jalur!”

Aku gembira tak terkata, senyumku sampai ke telinga hinggalah pada bulan keempat kehamilan apabila doktor menyatakan bahawa rahimnya bermasalah. Nadia perlu gugurkan kandungan atau menempuh risiko kematian. Dia bertanya doktor, berapa peratusan dia akan selamat jika dia teruskan kehamilannya. Doktor memberikan jawpan yang tidak memberangsangkan.

Dia memandang aku dan melihat wajah kecewaku. Selama beberapa hari aku kurang bercakap dengannya. Betapa bodohnya aku.

Suatu hari dia datang membelai rambutku. Katanya, dia telah membuat keputusan. Dia akan teruskan kehamilan, bukan kerana aku tapi kerana kemahuannya. Padahal aku cukup tahu akan penndorong keputusannya, Ia adalah keputusan yang sangat berani melihatkan peluang berjaya ketimbang risikonya yang bakal membawa fatal. Dan ketika dia bertanya akan pendapat aku, bagai satu setan mendorongku berkata. “Ye lah kalau macam tu, abang setuju.” Padahal itulah yang sangat aku mahu.

Betapa besar pengorbannya. Betapa besar pengorbanannya.

Dan sekelian bulan kemudian, di dalam bilik bersalin, aku tidak dibenarkan berada di dalam. Ibu dan bapa Nadia juga hadir dan memandang aku dengan mata yang cukup memberi isyarat bahawa mereka tidak setuju dengan tindak tandukku. Aku bodohkan muka dan percaya yang semua akan jadi OK.

Dan apabila doktor keluar dengan menunduk, aku bagai tahu keputusannya. Dan aku mula sedar yang keputusan aku itu adalah sangat bodoh. Apabila doktor menuturkan dan mengumumkan pemergiannya, ibu Nadia menangis bagai orang hilang akal, bapanya berulang alik mengintai bilik, sekejap dipujuknya isterinya dan sekejap memandang ke bilik. Dan aku, aku bagaikan mahu mencampakkan diriku dari banggunan 20 tingkat. Aku bagai ingin menjerit memberitahu dunia yang aku lah orang yang bertanggungjawab ke atas kematiannya.

Setengah jam kemudian aku menemuni zuriatku di incubator. Aku terlupa yang dia perlu diiqamahkan, apa yang aku lakukan adalah mencium dahinya berkali-kali sambil berkata, “Abah sorry, abah minta maaf, abah mintak maaf kat  ibu dan kat semua orang. Kalau tiada nurse yang berhampiran, mau saja aku melaung melepas kesal.

Dia tak tak tahu yang aku tipu dia. Dia tidak tahu yang aku merampas kasih-sayang ibu darinya. Atau dia tidak sepatutnya lahir pun ke dunia. Dan sekarang tuhan bagai menghukum aku dengan penyakitnya. Yang nyatanya, dia tak tahu yang aku telah berpakat dengan takdir untuk membunuh ibunya.

Matyie Abahaydar
27/5/2016
Menunggu maghrib.


Salam, kalau anda suka apa yang and baca, sila kongsikan post facebook ini di wall anda. Pada masa yang sama, saya juga menulis novel di bawah. Dapatkan di www.gerakbudaya.com (fiction/ Bahasa Melayu) atau kedai-kedai di sekitar anda.

CERPEN LAIN
KELUAR

           






Wednesday, May 25, 2016

PARAMALANG; REVIEW NOVEL SENDIRI, TAK MALU! (Ye, gua tulis blog balik sebab baru ingat password)


“Kadang-kadang kehidupan layan kau macam hanjeng. Kadang-kadang hidup layan kau macam taik. Tapi kalau kau tak bangkit melawan, kau memang bangang! Life goes on la kan?” Kata Ujang dalam novel ini. Aku rasa dailog ni ‘pretty much sums up’ apa yang aku nak sampaikan dalam novel ni. Bunyinya agak kasar, tapi tu lah kehidupan kan? Ye tak?

Sebenarnya, bila orang dok tanya buku aku tentang apa, aku mula gelabah nak jawab. Sebab aku tak tau nak terangkannya dalam beberapa patah perkataan. Bini aku kata, cakaplah tentang harapan. Ya ‘harapan’, sebahagian besar isi buku tersebut adalah pasal ‘harapan’. Agaknyalah.

Kalau aku boleh bercerita secara ringkas, buku ni adalah bercerita tentang ‘dua’ cerita. Ok- Satu cerita adalah tentang seorang lelaki 40an bernama Allan yang kehilangan keluarganya dalam satu kemalangan jalan raya di borneo. Dia kembali ke Kuala Lumpur dan menemui sahabat-sahabat lamanya dan berjumpa dengan ‘old flame’, Michelle, yang pernah dicintainya. Pertemuan dengan wanita itu membuatkan dia ‘hidup kembali’, namun Michelle atau Zahra tidak dapat menerimanya kembali. Pertamanya, mungkin kerana anutan kepecayaan barunya dan keduanya kerana kesihatannya tidak membenarkan dia untuk menerima Allan. (Mak ai, clichenya, dengar pun bosan kan? Sabar anak muda, baca dulu).

Keduanya watak remaja 16 tahun Sani dan rakan baiknya Bryan Yap atau dipanggil Brahim oleh rakan terdekat, seorang pemain dram kugiran D-beat Punk Rock yang terperangkap dan diburu oleh ahli kumpulan kongsi gelap. (Kisah bagaimana kadang-kala keakraban persahabatan boleh menyebabkan hidup kau jadi macam lahanat.)

Mereka semua ni bertemu bila Allan menjadi guru sementara di sebuah swasta di Petaling Jaya. Hubungan mereka menjadi akrab dan babak-babak seterusnya berkisar di sekitar watak-watak ini.

Aku tak bercadang menceritakan novel ini panjang lebar. Terlalu banyak cerita di dalamnya. Kau kena, maaf, pembetulan, ‘anda’ kena bacanya sendiri.

Kalau  anda mahukan action, entah berapa kali pergaduhan berlaku dalam cerita ini. Jika anda mahukan kesedihan, cerita ini penuh dengan kesedihan. Kalau anda mahukan romance, ya ada jugak. Kalau anda mahukan attitude, ya novel ini adalah untuk anda.

Dari watak Sani, anda akan dapati dia seorang yang membenci datuknya, seorang ahli korporat terkenal, yang tidak pernah ingin berdamai dan bersetuju  dengan ibu Sani yang dulu mengahwini arwah bapa Sani (Ibunya kini bersuami baru. Dan beranak pinak lain dah pun. Dah la mak dia kena bela bapakanya yang tak bekerja sebab stroke) dan membiarkan mereka dalam kesempitan hidup, tinggal di flat sempit di pinggir KL. Helmi pulak, abang kepada Sani telah ‘punah’ kerana dadah dan telah hilang entah ke mana, maka Sani dihantar ke sekolah swasta dengan harapan Sani tidak mengikut jejak Helmi. Helmi pulak tidak asing dengan dunia kongsi gelap yang Sani dengan tidak sengaja terlibat ke dalamnya. Dia pulang satu hari dengan keadaan bersih (dari ketagihan dadah), dan cuba menyelesaikan masalah Sani dengan caranya sendiri.

Dari watak Bryan, anda akan dapati hubungan ibu-bapanya hambar akibat adiknya pengidap autism. Autism menyebabkan bapanya menjauh dan ibunya menderita akibat depression.Bukan sekali ibunya cuba membunuh diri akibat kemurungan, dan seperti Sani yang membenci datuknya, dia telah lama hilang hormat terhadap bapanya.

Allan, hmmm..Allan, terlalu banyak cerita nak ditulis di sini. (Aku tulis Bahasa skema ni, tapi bukunya tak ye!)

Aku rasa novel ni adalah meraikan budaya Malaysia.Maksud aku watak-wataknya. Antara watak utamanya saja bukan Melayu. watak-watak lain pun, Bryan, Joan, Uncle Saga- bukan Melayu. Aku nak pecahkan norma yang orang Melayu tulis watak melayu saja jadi hero. Dan yang cliche- yang bukan melayu hadir dalam literasi Melayu sebagai watak tempelan yang bercakap pelat. Malah Bryan (macam jugak sebahagian warga Cina Malaysia yang dipanggil banana -maksudnya kebaratan la, macam pisang, kulit je kuning, isi putih), dia lebih terrer cakap Melayu dan Indon dari berMandarin atau dialek cina yang lain. Namanya pun dipanggil Brahim. Uncle Saga, lagi dasyat, seorang penggunting rambut yang pekat dengan accent Terengganunya. Orang-orang sebegini wujud kan di sekitar kita?

Apa yang mungkin aku cuba bawak jugak adalah underlying theme atau tema yang akan anda dapati secara tidak langsung. Ekstremisme agama, kemiskinan urban, kebebasan media, remaja tanpa hala tuju, kemunduran sistem pendidikan,  stereotyping…semuanya terselit disebalik watak-watak di sini.

Aku cuba paparkan Kuala Lumpur yang pernah aku kenali. Aku dulu nak  menulis tentang setinggan, tapi setinggan dah tak berapa nak ada di KL, maka diubah ceritanya. (Beb, novel ni adalah projek penulisan yang dimulakan 9 tahun lepas, yang baru sahaja disiapkan. Sebelum memulakan penulisan, novel ini ditulis dalam kepala aku jauh lebih lama dari tu). 

Aku nak paparkan KL yang 'kita' kenali.Dari LRT dan pinggan plastik mamaknya, lorong-lorongnya, pengemis jalanan, flat sempit, graffiti, subkultur muda mudinya, dengan kata lainnya, setting Kuala Lumpur yang takkan kau lihat dalam drama 7.30 petang yang lebih cenderung memaparkan lelaki 20 an yang berjaya dan kereta bapak mewahnya.

Sebenarnya aku tak pernah bercadang nak tulis novel pun. Sebaliknya, aku dulu berangan nak jadi independent movie maker. Ini adalah salah satu idea filem aku. Maka aku tulis novel n, plotnya, development ceritanya seperti sebuah filem. Aku tak narrate cerita, sebaliknya watak-watak ni dengan dialog mereka lah yang bercerita untuk aku. Dengan teknik flashback dan sebagainya, kau takkan dapat tahu keseluruhan cerita sehinggalah kau menjengah ke mukasurat-mukasurat akhir.

So ni je yang mampu aku tulis. Ni blog lama aku tapi lama aku tak update sebab hilang password. Macamana aku boleh ingat balik pun aku tak tau. Aku cadang nak tulis cerpen, sajak ngan artikel. Jemputlah jenguh kalua sudi ye. Sekian, terima kasut.

Monday, May 23, 2016

Baru nak start balik

yeaa, baru unfat password

Friday, September 9, 2011

NUKILAN DARI SORANG NANAT YANG SUSAH NAK TIDO


MELOYA JIWA BANGSA
Tepu jiwa
bila sesekali menyentuh warkah ini.
Dilangkau-langkau kehujung lembar
dengan seribu keluh
Tahukah
Yang meloya ini pernah menjadi lidah melayu
Yang digelar tuan putih- Akhbar merah jambu
Namun budaya diberi makan
Maka banyak jiwa akan diam
Suara ini telah terbeli
Tuan barunya berperi
Dengan nada yang sangat asing
Tiada lagi rungut bising
Selagi ada mentari,
Moga ia akan hidup
Dengan menjilat seribu tahun lagi.

NISAN RIWAYAT
Kau boleh saja memacak nisan
Kepada tubuh manapun
Namun jika jasadnya masih hidup,
 Takkan berpenghuni pusara
Kalau pun dihuni
Akan masih ada lagi,
Denyut nadinya di hati

Sakan dikau dulu dibawa pusing di atas kereta Kolonial
Maka setiap hari digaji engkau untuk menggilap
Diberi kamu pemadam
Kau gosok dan padamkan
Memilih pelangi dari riwayat
 mencuri api dari mukasurat
Hilang dari buku-makalah
Hilang dari kuliah dan sekolah
Namun kenangan
Memanggil manggil hari ini
Walaupun banyak menjadi mayat
Masih hidup disegelintir benak rakyat.

Kenanglah Brahim, Si Din, Sani dan Sahak
Kembali didendang wira yang berhak.

SERUAN KEBANGKITAN
Luka mulutnya
Dan gugur gigi sang guru
Dek tamak soldadu Uhud
Lintang pukanglah semua
Tak terkecuali pembesar mulia
Yang katanya meminggir setan
Di setiap laluannya

Namun hayat masih berbaki
Dan baki  gerahamnya
Tak pernah berhenti menggigit
Di belakang Kiswa ia mara
Mengunyah hati dan jiwa raga
Akhirnya tempat lahir tertawan semula

Merayulah si polan, merayu saki baki kebesaran
Setelah punah roboh penghormatan
Tak disangka anaknya kemudian menyinga
Dimintanya ‘takhta’
Dan tak dikembalikan
Yang menuntut- gugur bercerai badan

Ribuan tahun telah pergi
Hingga kini masih berdiri
Gahnya disana sini
Tercacak kehebatan
Menara-menara Babel
Di seluruh semenanjung, di tepi Haram

Dari mulut luka
Suaranya semakin bergema
Disetiap penjuru
Memanggil dan menyampai seruan
Dari  kertas hingga ke talian
Dan celiklah berjuta jiwa
Mengenal hakikat sebenarnya

Datang nanti akan janji
Bahawa ia akan kembali
Walau bukan jiwa yang sama
 Namun ia berkongsi nama

Sementara itu
Moga lebih ramai lagi
Yang terkesan
Dengan seruan kebangkitan.


Wednesday, September 29, 2010

Semenanjung Register datang Lagi

Poster yg lepas terlalu hodoh, gua buat baru. Sesapa yang terbaca, tolong spread. Kat fb, aku nak tag orang pon tak reti. Illiterate sungguh!

Monday, September 20, 2010

Semenanjung Register datang Lagi

Kepada kengkawan, antorkan artikel ataupon ide untuk keluaran SemReg yeeeee