Sunday, January 1, 2017

RASUK

                
Aku baru sampai ke pintu pagar sekolah. Buat sekian kalinya aku perlu berjumpa dengan guru atau pentadbir sekolah anakku yang darjah enam. Ada hal perlu dibincangkannya katanya. Aku akur dan berjanji akan datang awal sedikit untuk mengambil pulang anakku dari sekolah. Tapi kali ini aku awal, sangat awal. Sepatutnya aku datang sekitar sejam sebelum sesi sekolah berakhir. Ceritanya aku lari dari tempat kerja kerana mesyuarat ditangguhkan. Maka bolehlah aku ke sekolah berjumpa dengan guru tersebut. Apalah yang nak dibincangkan agaknya? Haisss, apa lagilah tak kenanya kali ini?

            Sekolah tersebut adalah sebuah sekolah yang agak berusia. Aku difahamkan ianya adalah antara sekolah rendah terawal di Pulau Pinang. Banggunannya masih lagi tersisa ciri-ciri colonial namun blok-blok baru sekolah ini agak moden dan meneggelamkan ke-gah-an senibina lama tersebut. Dan ketika aku mula berpindah ke Pulau Mutiara ini, sekolah ini dipilih untuk menempatkan anak aku aku kerana lokasinya. Ianya dekat dengan rumah dan mudah untuk aku menghantar dan mengambilnya dari sekolah kerana ia sama arah ke tempat kerjaku. Bukan kerana prestijnya sekolah tersebut atau apa-apapun kelebihan sekolah ini. Hanya kerana lokasi.

Yang memeningkan adalah, anak aku sedikit bermasalah. Masalah pergaulan mungkin. Mungkin salah aku juga. Mungkin agaknya salahnya pada pekerjaan yang aku ceburi ini. Dalam masa enam tahun, sejak dia berada di darjah satu dulu, sudah lima kali aku berpindah tempat kerja atas arahan majikan. Dan anakku yang sorang ini, memang sukar untuk mendapat kawan. Dia penyenyap dan sukar menyesuaikan diri dengan tempat baru. Dan bila dia mula membuat kawan, tugasku memaksa aku berpindah, dan memaksa dia berpisah dengan kemesraan dan persahabatannya di setiap sekolah yang di’huni’nya. Dan kerana itu, aku seakan merampas kebahagaiaanya. Dan juga mulut, keyakinan dan jatidirinya. Agaknya dia tidak mahu lagi membuat kawan dan bersahabat. Apa perlu dia berkawan kalau tak lama kemudian mereka akan berpisah. Agaknya itu yang difikirkannya.

            Dan yang paling penting, dia merindukan ibunya. Perpisahan bukanlah sesuatu yang diinginkan namun apa yang berlaku… berlaku. Mungkin kerana tugasku ini punca runtuhnya rumah tangga kami. Dan kerana itu Syakilla, puteriku yang sulung ini berpisah dengan dua adiknya yang masih kecil itu. Itu perjanjian kami suami isteri, pembahagian anak-anak. Aku tak mahu terputus kekeluargaaan ini. Kami berpisah cara baik dan aku masih ada hati pada ibunya dan berharap kami akan bersatu lagi. Mungkin aku patut mula menulis surat perletakan jawatan dan mula mengintai kerja baru. Kerja ini merampas terlalu banyak perkara dariku. Dan kini aku hadapi anak yang bermasalah ini. Kalaulah ibunya ada. Haisss…

Aku masih berada di kereta. Kereta ibu bapa tidak dibenarkan memasuki perkarangan sekolah maka aku menunggu untuk adanya ruang kosong untuk aku meletak kereta di tepi jalan. Banyak pula deretan kereta di pinggir sekolah ini. Dan yang paling menyiksakan adalah Puan Hamidah. Malas benar aku untuk mengadap Puan Hamidah. Ada saja perkara remeh yang nak diberitahu.

            Perjumpaan lepas, dia asyik menyatakan ada perkara pelik pada anakku Syakilla. Katanya, murid lain takut untuk mendekatinya. Katanya perangai Syakilla menyukarkan para guru. Katanya Syakilla sedikit berkonflik dengan rakan-rakan sedarjahnya. Dia jadi bahan ejekan rakan-rakan, dipulau dan seterusnya memberontak. Dia malah mebahayakan, membahayakan secara fizikal.

            Mustahil! Illa bukanlah seorang yang degil, dan jauh sekali dia ditakuti. Dia Cuma pendiam, dan mungkin kurang pandai bersahabat. Dia mungkin suka menyendiri namun dia bukanlah seorang yang menyusahkan atau membahayakan. Mustahil.

            Memang ada sedikit perubahan pada Illa semenjak dua menjak ini. Yang pertama kelakuannya. Yang kedua igauan malamnya. Hampir setiap malam dia mengigau. Kadangnya mengerikan juga. Entah bahasa apa yang terbit dari mulutnya hasil dari igauannya. Pernah aku tersedar dari tidur apabila dia mengilai dengan agak kuat. Bila aku kebiliknya, dia sedang tersenyum memeluk lutut. Dipandangnya muka aku sambil tersengih bagai mengejek beberapa saat, kemudian kepalanya kembali ke bantal dan dia mula tidur.

Kebiasaannya pada keesokan harinya, aku akan bertanya dengannya, mimpi apakah pada malam tadi. Biasanya dikatanya dia tidak ingat. Kadang kala dia langsung senyap. Minggu lepas sedang dia menjamah roti dan lepa kacang kegemarannya, aku bertanya lagi. Seperti biasa dia susah untuk menjawab. Namun perasaan ingin tahu melandaku. Lantas ku usahakan lagi bertanya bertalu- talu,kalau-kalau dia ingin berkongsi tentang mimpinya. Namun kali ini dia menjawab dengan sesuatu yang pelik dan juga bagiku sedikit menyeramkan.  Apa tidaknya, bila ditanya, dia hanya tersengih sinis, kemudian dikeluarkan lidahnya dan mula menjilat pangkal sudu dengan rakus sambil tersenyum hingga ke hujung menemui sisa-sisa lepa kacang yang terlekat di lekungan dalam sudu itu. Kemudian, disengetkan mukanya ke kiri dan memandang tepat ke mataku dan dia bertanya, “kenapa…takut?”

……………………………………………………………………………

Aku sekarang berada dipersilakan ke bilik Puan Hamidah. Sebelum aku masuk ke bilik, seorang lelaki berseluar jeans dan t-shirt lusuh berada di luar biliknya memandangku dari atas ke bawah. Usianya dalam pertengahan 50an jika dilihat dari bawah otot matanya yang jatuh dan kulit tengkuknya yang sedikit menggelebeh dan ubannya. 50an, mungkin juga lebih. Aku memberi salam dan dia menjawab salam dan kemudiannya berlalu pergi tergesa-gesa beredar dari situ sambil mulut terkumat-kamit.

Sebentar kemudian Puan Hamidah datang bersama fail di tangannya. Dia kelihatan gelisah. Di kepalaku, aku sudah bersedia untuk menerangkan bahawa perangainya mungkin berpunca dari perpisahan kami suami isteri. Pelbagai ayat dikarang di kepalaku dan diharap dia sebagai guru bakal faham apa yang dihadapai oleh Syakila.

“Encik Azwan…hmmm. Maaf kalau saya tanya. Ada atau tidak Syakila Adeeba berperangai pelik di rumah?” Puan Hamidah memulakan bicaranya.

“Takde sangat puan. Dia selalunya bersendiri sahaja. Mmmm…boleh saya tahu, ada perkara apa yang terjadi kat dia?”

“Susah saya nak explain.” Kata Puan Hamidah. “Saya terlalu banyak kali mendengar laporan dari rakan-rakan muridnya yang dia…hmmm…”

Hmmm. Aku cukup malas berhadapan dengan keadaan remeh seperti ini. Bukan aku tidak mempedulikan anak, tapi budak adalah budak, dan kanak-kanak ini pelabagai fe’elnya.

Puan Hamidah mual mencari ayat. “Errr…ada dia berperangai…”


“Hmmm.. beginilah Puan. Saya rasa sebab perceraian. Maksud saya macam ni. Mungkin sebab perpisahan kami suami isteri, perangainya semakin pelik. Saya rasa dia buat perangai macam ni semua sebab protes. Dia nak duduk dengan maknya sebenarnya.” Kataku laju memotong percakapan dan sedikit tidak sabar.

“Bukan macam tu, dia…dia jadi sedikit ganas.”

“Ganas?” Tanyaku.

“Semalam, budak lelaki datang dengan leher yang berdarah, Syakilla mengamuk katanya. Budak tu digigitnya.” Puan Hamidah menerangkan dengan nada serba salah.

“Siapa yang gigit? Syakilla?” Aku meminta kepastian.

Tiba-tiba kekecohan berlaku di luar.

“Dia buat lagi, ada kat tandas sedang panjat dinding!” Kata seorang guru dan terus keluar dari pejabat dan diikuti oleh seorang yang lain. Mereka yang berbaki di pejabat masing-masing dengan riak muka ingin tahu..

Seseorang datang menemui Puan Hamidah dan mengangguk. Tanpa berkata apa-apa, bagaikan sudah maklum, Puan Hamidah terus mengajakku mengekori beberapa orang yang kelihatan agak panik.

Beberapa pelajar perempuan tumbang sambil menjerit histeria. Seorang menggelupur hingga habis baju kurungnya terselak hampir ke atas pusat. Beberapa yang lain menangis kerana takut. Sekumpulan budak lelaki sedang berkerumun cuba untuk menyaksikan ‘pesta’ keriuhan namun dihalang oleh seorang guru.

Di luar bilik air, kelihatan lelaki 50an yang berseluar jeans tadi sedang membaca sesuatu, bagaikan mentera bercampur ayat al Quran. “Panggil ayahnya masuk!” Arahnya sambil tangannya mengarahkan ke arahku.

Aku terkebil-kebil kehairanan. Lelaki tadi datang menarik tanganku dan terus memasuki tandas pelajar perempuan tersebut. Bau hancing menangkap hidung. Pelik tiada sesiapapun di situ.

Si lelaki tadi merangkul mukaku ke arah dinding belakang. Aku terkejut bukan kepalang. Syakilla sedang berada di dinding. Kaki tangannya melekat bagaikan cicak hampir sampai ke siling dengan kepalanya menghala ke bawah.

Mata hitam Syakilla lebih besar dari biasa. Mulutnya dipenuhi liur berjuntai jatuh ke dagunya.

“Inch’pes yes hamardzakvum gal tesnel indz!,”

“Inch’pes yes hamardzakvum gal tesnel indz!!!!” Jerit Syakilla berkali-kali dengan suara garau menggelegak dalam anak tekak.

Matanya tajam memandang lelaki tersebut. Dia kemudian tersenyum. Dia menjilat lendir ludahan disekeliling mulut, kemudian menyedutnya dalam dan panjang dan kemudian dengan tiba-tiba diludahnya cecair tadi memancut laju menuju muka si pakcik tadi.

Sedikit ludahan terkena pada dahi dan rambut si lelaki berambut yang makin memutih itu.

“Inch’pes yes hamardzakvum gal tesnel indz!,”Ulangnya lagi dan kemudian Syakilla mula ketawa dengan kuat dan garau menampakkan gigi kuning kehitaman dan tidak rata.

Bila si lelaki tadi membaca Sesuatu, Syakilla mula marah dengqn suara garaunya dan si gadis tadi dengan tenaga luar biasa datang meluru, bertapak laju bagaikan cicak ingin menyerang pakcik tadi. Apabila sampai ke dinding tepi belah kanan, Syakila melompat dari dinding menerkam ke arah pakcik tadi.Kira-kira satu meter dari tubuh pakcik, Syakilla jatuh ke lantai dan pengsan dengan mulut berbuih-buih.

………………………………………………………………..

Jam menunjukkan pukul sepuluh malam. Di pangsapuri sewaku ini, TV terpasang namun suaranya dibisukan. Hanya bunyi kipas mengaum kuat dengan kelajuan maksimum. Sesekali bunyi cicak hadir mengherdik.

Tak lama kemudian, sampailah beberapa guru lelaki, Puan Hamidah dan juga Pak Hambali, lelaki tua berseluar jeans tadi. Rupanya dia adalah tukang kebun yang telah lama berkhidmat di sekolah itu.

Syakilla sedang tidur di bilik. Pak Hambali bergerak dari dinding ke dinding bagai mencari sesuatu. Dikeluarkan dari bagnya sebuah lampu UV dan memasangnya maka terkeluarlah cahaya biru.

“Ini biliknya ke?” Tanya Pak Hambali.

Aku menganggguk.

“Tolong tutup pintu, langsir tingkap dan tutup lampu.” Kata pak Hanafi. Dengan pantas guru-guru lain pergi menurut arahannya. Suis lampu diketik dan apabila lampu dipadamkan, maka kelihatanlah lukisan symbol-simbol occult pemujaan di dinding yang hanya boleh dilihat adengan lampu UV tadi.

Corak lukisannya penuh dengan symbol yang menyeramkan. Ada lukisan pentacle bintang bucu lima di dalam bulatan dan juga bulatan bercorak bunga. Terdapat juga symbol bulan, api dan satu figura seperti kambing terlukis elok- yang mustahil ianya dilukis oleh budak berusia 12 tahun. Lukisan symbol itu bukan sahaja meliputi dinding, malah ke siling! Lampu dinyalakan kembali dan symbol-simbol tadi hilang dari pandangan.


“Angkat dia ke bilik yang lain,” Perintah Pak Hambali. Aku datang mengangkatnya secermat mungkin dan meletakkannya di lantai bilik kosong tempat kuletetakkan lipatan pakaian dan sebagainya. Dia masih lagi nyenyak tidur. Sejak kejadian tadi dia hanya tidur, Cuma sesekali dia meminta air dan biskut.

Beberapa orang tadi datang mengerumuninya, duduk di empat penjuru bersama air mineral, limau nipis, bekas tembaga, keris kecil dan beberapa peralatan yang lain. Biasanya melihat kepada perubatan sebegitu, aku akan memprotes kerana bagiku ia adalah karut. Namun kali ini, aku bingung dan membiarkan sahaja.

Tak lama kemudian, Syakilla terjaga. Dadanya bergelombang dan pandangannya tajam kepada semua di sekelilingnya. Dia cuba berdiri tetapi dipegang oleh mereka di sekelilingnya tadi. Tak lama kemudian, bacaan dikuatkan. Ada suara garau meronta-ronta. Di hantuknya kepalanya ke lantai berkali-kali dengan kuat bagaikan mensabotaj ‘jasad’ yang ditumpangnya..

“Ambik bantal, letak bawah kepalanya.” Perintah Pak Hambali. Aku berlari mendapatkan bantal dan kembali meletakkannya di bawah kepala. Dia masih berterusan mengahntukkan kepala.

Leher Syakilla menjadi pucat dengan penuh urat-urat kehijauan terserlah di bawah telinga. Sungguh kuat rontaannya dan pegangan sekelian lelaki tadi terlepas. Dia kemudian menikus sambil merangkak laju ke sudut bilik. Dia duduk sambil memeluk bahunya, menggeletar dan mulutnya berbunyi bagaikan anak anjing ketakutan. Matanya liar melihat semua orang.

Pak Hambili menghampirinya. Direnjiskan air beberapa kali sambil mulut dengan bacaan tertentu. Sebentar kemudian Syakilla batuk-batuk dengan bunyi yang keras lalu dikeluarkan dari mulutnya lendiran hitam berketul-ketul pekat bagaikan pecahan organ dalaman dan baunya amat amatlah hanyir.

………………………………………………………

Setelah hampir setengah jam Pak Hambali datang menemuiku. Di dalam, Puan Hamidah sedang menyapukan air berkali-kali di dahi Syakilla yang masih tidak sedarkan diri.

“Ini bukan kes pertama Cik Azwan. Sepuluh tahun lepas, beberapa budak terkena perkara yang sama, namun tak seteruk anak Cik.”
“Sepuluh tahun lepas?” Tanyaku.

Dia menceritakan bahawa kawasan sekolah itu telahpun pernah di’pagar’. Namun entah bagaimana,perkara tu terjadi kembali. Menurutnya, rasukan itu hanya terjadi melanda kepada kanak-kanak yang mempunyai keistimewaan tertentu, dapat melihat sesuatu yang biasanya tidak dapat dilihat orang; dan Syakilla adalah salah seorang budak istimewa tersebut.

Katanya lama dahulu, tapak sekolah itu dahulu didiami komuniti pendatang Bangsa Armenia. Mereka adalah bangsa pedagang sepertimana banyak bangsa-bangsa lain yang menumpang tuah di bumi pulau itu.

Dan salah seorang wanita golongan tersebut dipercayai mengamalkan Ilmu yang ‘tidak elok’. Ya atau tidak tidaklah diketahui. Tapi menurut ceritanya, setelah banyak kejadian pelik dan juga kematian terjadi, komuniti tersebut berpakat untuk menuduhnya sebgai dalang segala peristiwa malang yang terjadi. Mereka mengepung rumahnya selama beberapa hari.

Pada suatu malam, para pendatang ini masuk ke rumahnya dan mengheretnya dan dipaksanya memasuki lubang yang telah digali. Wanita itu kemudian ditanam hidup-hidup dan dipercayai tangki air besar di sekolah tersebut adalah tapak di mana tertanamnya jasadnya. Dan Syakilla saya perhatikan suka betul menyendiri di kawasan tangki air itu, becakap seorang diri.

“Beginilah Cik Azwan. Seeloknya, saya cadangkan jangan la bawa Syakilla ke kawasan sekolah tersebut walau sekalipun lagi. Tukarlah dia ke sekolah lain. Kami bukan nak menghalau tapi kami rasa ianya adalah untuk kebaikan Syakilla sendiri.” Kata Pakcik Hambali sambil memegang bahuku.

………………………………………………………………….

Hari ini, aku menamatkan hari terakhirku bekerja di syarikat itu setelah sebulan notis. Di depanku adalah kotak yang ku isi beberapa perkara yang penting yang aku rasa perlu untuk dibawa pulang. Malam ini ada jamuan perpisahan yang dianjurkan oleh kelab staff pejabatku.

Telah empat bulan kejadian itu berakhir dan Syakilla sekarang dikhabarkan makin ceria tinggal di rumah ibunya di Kuantan. Sejak kejadian itu, Syakilla tidak lagi menjejaki sekolah itu walau sekali dan setelah difikirkan dengan cermat,  pilihan terbaik bagiku adalah untuk menghantar Syakilla tinggal bersama dengan ibunya.

Dan dengan ibunya, ada perkembangan yang memberangsangkan juga. Ada bibit-bibit cahaya yang memungkinkan aku kembali lagi bersamanya. Ini semua kerana anak-anak. Aku pun bakal menerima jawatan baru di Kuantan. Gajinya, gajinya jauh lebih rendah dari pendapatanku sekarang namun keluarga lebih penting dan aku rasa aku telah melakukkan perkara yang betul. Cukuplah jawatan ini mencuri banyak perkara dariku.

Telefon berbunyi dan kutelek, ianya adalah panggilan dari Azreen, ibu Syakilla sedang menelefon.

“Hello, awak free tak ni?” Kata Azreen membuka bicara sebelum sempat aku mengucapkan hello.

“Boleh cakap, ada apa?.”

“Awak balik ke Kuantan minggu depan kan?”

“Ye, minggu depan.” Jawabku ringkas.

“Budak-budak ni berkali bertanya bila awak nak jumpa diorang. “ Kata Azreen. “Syakila dah mula buat perangai. Terlalu rindukan awak agaknya.”

“Hmmm, budak-budak. Perangai macam mana,”

“Malam tadi, dalam pukul 10 lebih…” kata Azreen sambil mengeluh panjang. “…dia bawak gambar awak lepas makan tengahari, dia keluar pergi dekat balkoni rumah dan dia panjat atas pagar besi balkoni tu dan dia duduk sorang-sorang atas pagar besi tu, kaki berjuntai mengadap rumah depan. Nasib baik tak jatuh….”

“Ishhh…” Keluhku.

“Saya tengah basuh pinggan kat bawah, saya panggil dia tak ada. Adik dia kata dia kat atas, kat luar tengah meniti pagar dinding balkoni. Saya naik tengok dia duk sorang-sorang pegang gambar awak. Tinggi tu, kalau jatuh macamana?”

“Haisss…Bagitau dia elok-elok. Cakap saya balik minggu depan. Boleh bagi telefon kat dia, saya nak cakap dengan dia.” Kataku.

“Kejap. Illa nak cakap dengan Abi ke?” Tanya Azreen pada Syakilla dan sebentar kemudian terdengar bunyi suara Syakilla berkata ‘hello’.

“Hello Illa,” Tanyaku.”Illa sihat?”

“Dah.” Jawab Syakilla pendek

 Dah makan?” Tanyakuu gopoh.

“Dah.”.

“Macamana duduk sana, ok?”

“Ok. Jawabnya, juga pendek.

“. Ehhh, Illa. Kenapa Illa duduk atas balkoni tadi. Kan tinggi tu? Jangan buat perangai macam tu lagi tau? Kenapa duduk atas pagar balkoni rumah tu, bahaya tu kan? Kalau jatuhhh?…” Kataku melarang.

“Hmmm…” Jawab Syakilla.

“Kenapa Illa duduk atas pagar balkoni tu?” Aku bertanya lagi.

Terdengar sengihan kecil di hujung talian kemudian senyap tanpa apa-apa perkataan. Tiba-tiba Syakilla menjawab. “ Mmm….kenapa… Takut?”.

Mendengar ayat itu, serta merta darah naik ke kepalaku dan bulu tengkukku mula berdiri dan badanku mula menggeletar. Tak semena-mena aku memutuskan talian. Bunyi telefon pejabat di luar mengejutkan aku dari kejutan.

Aku tak tahu adakah ayat itu memang darinya. Aku tak tau samada Syakilla sudah benar-benar bebas dari gangguan. Aku tak tau adakah ia timbul kembali setelah sekelian bulan. Yang nayatanya sekarang aku bergegas mula menekan butang telefon mencari nombor Pak Hanafi.

************************************************************************************

Feel free to share di Facebook, ika anda suka apa yang anda baca, pergi ke home (klik LIPASLITERASI di atas atau di sini, dan jemput baca cerpen-cerpen yang lain.

Saya juga ada menulis novel berjudul Paramalang (424 mukasurat), Sebuah novel urban tentang harapan, cinta, perahabatan, kekecewaan, erti kehidupan dan punk rock! Dapatkan novel PARAMALANG. whatsapp ke 019-3020248 (Matyie Abahaydar






No comments:

Post a Comment