Monday, January 16, 2017

TEMBAKAU

“Kalau kau punya kebolehan menghidupkan kembali insan tersayang yang telah mati, maukah engaku? Sanggupkah engkau?”

Cerpen TEMBAKAU
Matyie Abahaydar.

“Kalau kau dekat aku terjun, kalau kau dekat aku terjuuuunnnn!!!! Kau pegi!”

“Sabar dik, ingat tuhan dik, apa pun masalah adik mesti ada jalan penyelesaian.” Kata MA hospital yang penuh beruban dari rambut, janggut hinggalah ke bulu di lubang hidungnya. Matanya terkedip-ketip dengan bibir juih macam nak mintak penampar.

“Ada aku mintak nasihat? Aku tanya ada aku mintak nasihat kau?” Kaki aku hampir tergelincir. Angin kuat mengurangkan lagi keseimbangan aku. “Aku tak nak tengok muka kau. Kalau kau tak pergi, aku terjun.”

Kaki aku di tembok koridor Hospital. Di hujung sana Sungai Kuantan dan di bawah aku adalah maut. Terlihat sekumpulan manusia berkumpul  memandang ke atas memerhatikan tindak tanduk aku. Kepala mereka kecil, seperti  kepala belerang mancis.

Di belakang aku wajah panik beberapa orang jururawat. Ada pesakit berbaju hospital tidak berbutang bewarna hijau yang mahu datang nak menasihati kononnya tapi disekat oleh kakitangan hospital. Makin ramai kakitangan hospital datang menjaga kawasan untuk megurangkan keadaan tegang. Yang nyatanya aku tak merasa apa-apa, marah tidak, takut pun tidak. Macam aku cakap, tindak-tanduk aku dikuasai oleh sesuatu.

Kenapa aku di sini? Kalau kau tanya terus-terang aku cakap aku pun tak tau. Aku bukannya nak bunuh diri, tapi ada suatu kuasa yang membawa aku ke sini dan meruntun aku untuk terjun. Kuasa itu mungkin berupa satu susuk wanita dengan muka yang menakutkan, yang duduk di tepi koridor sana, dengan hidung yang luruh, kulit pipi yang tertanggal menampakkan bahagian belakang gigi dengan ulat yang berjentat.

Arghhh Kau takkan fahamlah. Aku ada sebab sendiri. Kau nak tahu ke sebab apa? Kalau kau nak tahu aku cerita. Meh aku cerita sebelum aku padam berkecai patah riuk kat bawah bila aku jatuh nanti.

Pendek cerita, ni semua sebenarnya pasal Julia. Nor Juliana binti  Ahmad Busu. Nama dia tak lawa tapi tuan dia lawa boss! Lagi dua bulan kami nak kahwin. Aku ada ajak dia tunang, dia kata kau bukan banyak duit sangat nak buat majlis banyak-banyak. Baik buat macam orang sekarang, buat majlis tunang dengan akad nikah sekali kata dia. Aku lagi la gembira. Dia ni jenis sporting gila. Tak berkira. Dah la lawa, kelakar, manja- makna kata cukup semua sifatlah. Ya, cukup semua sifat- kecuali satu, iaitu kecuali umur yang panjang.

Orang kata orang nak kawin ni darah dia manis. Aku tak pernah percaya. Tapi sebab kebiasaan kepercayaan adat ke apa menda, dua tiga menjak sebelum kahwin, aku ikut cakap orang-orang tua supaya berhati-hati dalam semua keadaan. Termasuklah masa dia nak balik Kedah awal bulan lepas. Dia nak memandu keretanya seperti biasa tapi aku tak sedap hati. Kalau boleh aku nak dia naik keretapi tapi masalah keretapi mana ada kat Kuantan ni.

Dia protes jugak mula-mula sebab lebih selesa berkereta. Selepas dipujuk, dia setuju untuk tak memandu. Aku nak hantar tapi tak dapat cuti dan nak save cuti sebab nak kahwin nanti. Last-last dia naik bas. Dan takdir pun pun langsung tak berbelas kesian. Bas dua tingkat yang dinaiki terbabas pada 2.50 petang hari sabtu. 28 penumpang meninggal termasuk pemandu. Dan saat aku mendengar berita, aku menyesal macam nak gila.

Sejak tu aku aku lebih banyak termenung dari bercakap. Memang aku tak boleh ‘move on’. Ketika bekerja, ketika memandu aku selalunya zoom out, khayal habis. Kawan-kawan maklum tentang aku maka mereka bagi sokongan. Ada ajak ke snooker, ada ajak futsal. Tapi aku masih dalam mood sendu aku. Hari tu kawan ofis tengah sambut birthday kat Domino Pizza aku dok menangis dalam toilet.

Bila aku keluar dari bilik air aku dapati kawan-kawan aku tadi dah beredar. Punyalah lama aku melalak dalam bilik air- agaknya mereka semua ingat aku dah blah ke mana. Padahal kereta aku ada je ‘park’ kat depan tu.

Aku keluar dari kedai pizza tadi meminggir ke hujung block untuk merokok. Rupanya di luar telah pun gelap sejak keraian hari jadi Azreen selepas balik kerja tadi. Rokok terakhir aku dalam kotak, aku keluarkan dan ketika nak menyalakan, aku terperasan- rupanya rokoknya koyak kat tepi. Maksudnya, alaaah, kalau kau hisap rokok mesti kau tau punya lah.

“Pinjam lighter kejap beb.” Kata sorang mamat berspek hitam, baju ala Hawaii bertopi jerami ala pelancong. Gila apa pakai spek itam tengah maghrib-maghrib ni.

Aku hulurkan pemetik apiku padanya. “Ada rokok?, Sorry, rokok last koyak.” Kataku.

“Ada. Tapi rokok gulung. Nak? Nak yang ni ke nak gulung sendiri?” Bertalu betul soalan dia. Dihulurkan padaku kotak aluminium yang berisi empat batang rokok yang siap digulung. Yang hebatnya, rokoknya lurus, tengang, bagaikan rokok ‘sigeret’ dalam kotak. Seingat aku sorang je pakar gulung rokok ni sebegitu elok- member seasramaku kat sekolah dulu.

Aku mengambil sebatang rokok dari cigarette case yang bewarna keemasan itu. Ianya dicucuh setelah pemetik api dipulangkan.

“Teruk nampaknya kau ni Faiz.” Katanya

“Errr…ehem. Takde…kurang sihat sikit, hehe..” Jawabku, cuba mengingati siapa yang menegurku tadi dan mana pulak mamat ni kenal aku?

“Kau tak ingat aku eh? Kau ni laa…ni aku lah beb, Fidoz, ingat?” Firdaus menanggalkan cermin matanya. Rupanya bukan spek hitam, cuma spek biasa yang pesen cermin gelap.

“Firdaus?” Kataku?

Perkenalkan Firdaus aka Doktor Fidoz. Kawan seasrama berpangkat ‘abang-abang.’ Kepten rugby, juara 100m, suka buli junior.  Dipanggil doktor sebab pembekal aneka bahan pendengung untuk budak asrama lain. Pandai cover line, tak pernah kantoi dan ye, dialah mamat yang terer gulung rokok gulung yang aku cakap tadi.

“Takziah beb.” Katanya.

“Errr… takziah? Mana kau tau ni?” Aku tanya.

“Group alumni sekolah lah. Semua orang cerita pasal kau. Kau je takde dalam group tu. Eh jom mengopi kat mamak depan tu?”

Perbualan kami membawa kami mengeteh ke kedai mamak berseberangan jalan. Ramai jugak pengunjung mamak pada awal malam gini. Kami bersembanglah bukak cerita lama. Aku tanya dia kerja kata mana sekarang dan perkara seputar. Kata Firdaus. dia baru balik dari Brazil. (mak ai!) Kerja kat satu syarikat pharmaceutical di sana. Kerjanya jugak menurutnya (kalau dia tak kelentong la) membawanya masuk ‘hutan Amazon’ berjumpa dengan orang asal di sana. Kononnya dia terlibat dengan pengkajian health property dalam herba hutan.

“Memang kau ni ditakdirkan bekerja dengan ubatan ye dak?. Hehehe.” Kataku. “Sejak sekolah dengan ubat, bila besar kerja dengan syarikat farmasi.” Kataku sambil membuat gelungan asap dari mulut.

“Well…Cari makan nak buat macam mana.” Katanya yang kurang selesa dengan mood aku yang kurang ceria tapi masih dia mengawal diri.

“Ehhh, sorry tanya,” aku memperlahankan suara, “mmm…kau takde simpan….I mean, mana tau kau ada y’know, stock ‘rumput’ ke. Ehemm. Heheh.” Kataku dengan senyum kelat.

“Apa kau ingat macam kat sekolah lagi ke? Heheh…” Katanya senyum dengan muka yang berubah.

“Sorry beb. Kepala aku tak betul dua tiga menjak ni.” Kataku sedikit menyesal dan sedikit celupar. “Aku tak boleh move on lagi. Dasyat sangat ni.” Aku kata.

“Seingat aku kau tak pernah main benda ni semua masa kat asrama, paling kuat isap rokok je. Seingat aku la…” Kata Firdaus dengan muka berkerut.

“Memang tak pernah…takpe lupakan. Sorry” Kataku, dengan sedikit menyesal, kenapalah aku tanya soalan bodoh macam tu.

“Takpe. Aku faham. Benda biasa, takde apa nak malukan. Sorry tak boleh tolong.” Kata Firdaus sambil menghirup Neslo aisnya.

“Heheh..no hal lah, aku gurau je…” Kata aku, lebih bersifat ‘cover line’.

“Mmmm…tapi…” Firaus memperlahankan suara. “Kalau kau nak, aku ada menda nak bagi” Matanya memandang sekeliling.

“Apa dia?” Tanyaku. Tak berubah lagi dia ni rupanya, aku kata dalam hati.

“Kejap….hhhmmm… tengok ni.” Dia mengeluarkan satu botol kecil sebesar bekas filem dari beg galasnya. “Ambik ni, cuba kau bau menda ni.”

Aku sedikit kehairanan. Aku membuka bekas plastik dan didapati di dalamnya tembakau kering bewarna perang dan unggu dan aku letakkan dekat ke hidung.. “Tembakau apa ni?” Tanyaku. “Eheemmm…baunya foul sikit la beb.”

“Heheh. Bau dia tak best. Hehhehe. Bukan tembakau. Benda ini sebenarnya cendawan hutan dari Amazon. Cendawan spesyel! Dikeringkan dan diparut nipis halus ni, diproses dengan cara tertentu dimasak dan dijemur lagi dan jadilah halus macam tembakau. Orang asli sana panggil cendawan ‘Sonho Doce’. Dalam bahasa Portugis maksudnya ‘mimpi indah’.”

Aku menarik-narik ‘tembakau’ tu dari bekasnya. Firduas memberitahu bahawa di pedalaman Brasil, ada suku kaum kecil dinamakan Merena menggunakan ‘tembakau’ ini untuk perubatan. Apa yang dilakukan ialah tembakau ini dihisap macam rokok dan, penggunannya bermimpikan untuk memperoleh kesihatan. Bila mereka sedar, bagaikan placebo effect, mereka menjadi sihat dari penyakit. Ada yang memanggilnya cendawan para dewa bagi mereka yang ingin ditunaikan apa yang dihajati. Tembakau cendawan ini katanya adalah ‘harta tradisi’ kepandaian kaum ini.

“Maknanya kau boleh berhajat untuk mimpi apa je. Kalau kena gaya kau boleh control mimpi kau, macam ‘lucid dream’ lah. Pada mereka yang percaya, diorang kata kau hingga boleh dapat betul apa yang kau mimpikan.” Kata Firdaus sambil mengetuk mejanya dengan jari. “Tapi ingat, benda ni mahal ni beb. Syaratnya kalau kau nak pekena, satu gulung rokok sehari saja.  Jangan lebih. Tu pun kalau kau nak lah. Anggaplah ni macam nak kasi lega tekanan perasaan kau untuk sementara. Segulung sehari je. Kau pernah gulung rokok ke tak? Pandai kan?”

………………………………………………………………………………………………………………………..

Balik dari 7- eleven untuk membeli kertas membalut rokok, aku balik ke rumah. Tembakau tu aku buka dari bekasnya dan aku letakkan jauh-jauh- agak tengik baunya. Aku duduk dalam 10 minit memandang tembakau, antara percaya ke tak percaya. Betul ke mamat Firdaus ni? Getis aku dalam hati. Apahal aku bangang sangat sampai perabis seratus ringgit beli benda alah ni?

Tak lama kemudian aku membalut balutan rokok yang pertama dan rokok dinyalakan. Rokoknya dihisap sampai mengenai slim filter putih. Setelah itu aku tunggu hingga dalam 20 minit. Takde apa yang berlaku. Tiada khayal atau rasa sensasi apa pun. Apa benda ni?

Aku dah kena kelentong ke ni? Dah la mahal dia tolok menda ni. Suku bekas seratus inggit. Mahal nak mampus. Ke aku kena kencing?

Aku balut balutan kedua dan juga  tanpa kesat yang diharapkan. Aku hisap balutan ketiga dan keempat. Kali ini. bila sampai lebih separuh aku penyekkan ke dalam ashtray. “Celaka!” Getis hati aku. “Memang ambik kesempatan pada kesusahan dan kesedihan orang.” Aku ambil handphone dan mencari nombor Firdaus yang di’save’ tadi aku mula menaip sesuatu di whatsapp!. “^%$&^% &*%%. Kenyang la kau dengan duit tu. Takde benda pun berlaku? Kau ni memang *&^%%!!!”

Telefon aku dicampak di tepi bantal. Aku rebahkan badan dan berbantalkan lengan. Terkebil-kebil mataku dalam lampu suram. Kenangan bersama Julia muncul kembali. Mukanya ternampak nampak di kepala aku.

Tiba-tiba keluar dari mulut aku. “Julia. Rasanya aku kena lupakan kau segera. Tapi tolonglah, datanglah dalam mimpi aku untuk kali ni je.” Tak lama kemudian aku pun terlelap.

“Majlis gilang gemilang diadakan di hotel. Aku mengenakan tuxedo hitam dan Julia dengan gaun pengantin putihnya. Semua rakan karib menghadiri jamuan tersebut. Jamuan gilang gemilang. Ada petikan piano dimainkan.

Ramai yang bertepuk tangan menyaksikan kami suami isteri berpegangan tangan untuk memotong kek. Kek lima tingkat itu dipotong menggunakan pisau panjang yang diikat riben. Silauan lampu kamera dan sorakan hormat dan gelak kecil menemani kami. Aku menyuapkan sedikit kek ke mulut Julia dan Julia menyuap sedikit kemulutku.

Kami dibilik pengantin. Cahaya lampu suram bagai menjemput kami untuk beradu. Dia kelihatan manis dan malu-malu. Aku dengan hormat memimpinnya ke ranjang kami yang penuh berhias. “Awak dah sedia?” Kataku.

Dia mengangguk tersipu. “Awak,” Kata Julia menunduk dan membisikkan ke telingaku. “I love you so much. Julia janji, Julia takkan tinggalkan awak lagi.” Gemersik suara Julia.

Aku tersenyum puas dan mengangguk gembira. Aku mengucup dahinya dan Julia kembali sedikit berundur ke birai katil. Dia dengan perlahan membuka zip butang bajunya. Sampai butang kedua, dia behenti.

“Awak, mmm…boleh tak awak tutup mata sekejap. Janji tau, tutup rapat-rapat.” Kata Julia. Mukanya merah menahan malu. “Nanti bila Julia kata buka mata, baru awak buka.”

“Ok, baiklah.” Kataku sambil menutup mata. Julia mengambil tanganku dan melepakkan di mataku. Aku akur. Seperti Julia aku pun ada debaran. Agak lama mataku bertutup.

“Awak, bukalah mata..”. Katanya.

Aku menurunkan tangan di mataku dengan perlahan, Aku mula membuka mata dan tiba-tiba aku terdengar nyaringan bunyi muzik . Aku mula tersedar dari mimpi. Rupanya ia bunyi ‘alarm clock’ dari telefon. “celaka” terkeluar maki dari mulutku. Aku menutup bunyi ‘jam’ dari telefon dan menghempasnya kuat ke bantal.

“Kenapa awak?”

Hampir luruh jantung aku mendengar suara Julia. Aku berpaling dan mendapati Julia rupanya sedang berbaring di sebelahku memakai pyjamas. Aku kaget tak berkata-apa-apa. Aku menggesel mataku dan menepuk muka berkali-kali. Dan aku pasti aku bukan bermimpi.

“Kenapa? Tak percaya?” Tanya Julia.

“Tapi, macam mana?” Aku tanya teragak-agak.

“Kan Julia dah kata Julia janji takkan tinggakan awak lagi.”

“Tapi Julia kan dah…” Tiba-tiba aku terpandang sisa rokok di dalam ashtray. Aku teringatkan tembakau malam tadi. Kata Firdaus, tembakau ini dari cendawan yang dipanggil cendawan dewa kerana kebolehannya untuk menunaikan hajat menjadi kenyatan. Dalam keadaan keadaan terkejut dalam percaya dan tidak, tiba-tiba mulutku tersenyum lebar.

Aku tak peduli. Aku tak kisah apa pun penjelasannya, aku Cuma maukan Julia. Aku memegang mukanya dengan kedua tanganku. Julia yang aku rindukan telah kembali.

Aku tak pergi kerja hari tu. Pukul lapan, Julia buat breakfast roti dan peanut butter untuk aku. Pukul sepuluh aku melayan dia main monopoly, satu permainan yang dia suka. Bosan sebenarnya tapi aku layan je lah.Pukul 12, kami buat gila menyanyi ala karaoke. Pukul 2 petang aku masak untuk dia. Bukan aku reti masak sangat pun tapi buat jugak. Tapi pukul 2.50 petang, Sesuatu yang tak best terjadi.

Mula-mula ada bau yang tak best. Lepas tu aku tengok muka dia mula menggelupas. Makin lama makin teruk, macam ada retak-retak halus di tengah-tengah dan dia belelah kanan muka dia. Lepas tu kulit pipi dia mula luruh dan…tak sanggup aku cerita. Yang nyatanya, mukanya menjadi hodoh dan menyeramkan.

Keesokannya pun macam tu. Tepat pukul 2.50 petang, akan ada bau yang menusuk dituruti dengan wajahnya yang semakin teruk-dan teruk. Bila aku tidur malam dan terjaga paginya, Julia akan menjadi Julia kembali. Kenapa pukul 2.50, jawapannya sebab waktu itulah kemalangannya terjadi.

Tapi yang peliknya aku tak panik maupun takut. Sebabnya, dari aku tak dapat jumpa Julia langsung, aku boleh bermesra dengannya dari subuh sampai petang. Entah macam ada satu kuasa yang mendorong aku menerima keadaan itu. Dan ye, aku dah tak pergi kerja beberapa hari. Handphone aku, aku offkan. Panggilan kerja tak penting. Julia lagi penting. Aku boleh sayangi dia sampai ke petang! Entah apa yang menguasai aku, aku pun tak tau.

Masuk hari kelima. Julia Nampak sedih. Dia kata dia tak bebas bersama aku. Dia ajak aku ikut dia. Ke mana tanya aku? Ke tempat dia pergi. Pagi tu dia bagi aku pisau. Dia ajar aku untuk aku toreh tangan aku sendiri. Aku kata aku takut. Aku belum bersedia. Dan dia masuk bilik berkurung.

Pada malamnya dia datang lagi. Kali ini dengan mukanya yang rabak macam tengkorak di belah kanannya, hidung yang dah taka da dan mata yang agak tersembul, dia bawakan aku sebotol pil tidur. Ye, sejak aku kehilangan Julia, pil tidur tu yang membantu aku untuk tidur. Dan kali ini, aku cubab menolak tapi kuasa cintanya terlalu kuat.

“Tidurlah, dah hampir pagi ni…” Kata Julia merayu. “Nanti Julia yang cantik akan datang bila awak bangun dari tidur.”Dia bawakan air dan aku mula menelan pil satu persatu dan kemudian menyuap pil bagaikan nasi dan…

Petang semalam aku tersedar yang aku ada kat hospital. Ada kawan seofis datang rumah aku, masuk sebab rumah sebab rumah tak berkunci dan tengok aku dengan mulut berbuih-terus bawak aku ke hospital. Mereka datang melawat setelah sekian lama aku tak pergi kerja. Hampir semua kawan-kawan pejabat melawat aku tadi. Dan bila Julia tak ada aku boleh berfikir secara rasional sikit.

Bila malam tu, aku cari jeans dan baju aku. Rupanya di almari sebelah katil. Aku ambil telefon di poket seluar. Batteri telefon tinggal 15 peratus. Dengan laju aku menaip dan menceritakan secara ringkas apa yang terjadi pada aku dan aku hantar pada Firdaus. Selepas aku menekan butang send terakhir, bila aku bangkit, aku lihat Julia sedang memandangku tajam di bahu kiri- dengan mukanya yang mengerikan.

“Bak telefon tu kat Julia.” Katanya

“Buat apa?” Kata aku.

“Bagilah.” Katanya lagi.

“Tak perlu lah. Bateri pun dah nak habis ni.”

“Kalau sayang Julia, bawak telefon tu.” Katanya.

Aku memandang orang sebelah aku yang Nampak kehairanan. Aku semakin sedar yang Julia hanya wujud di dalam kepalaku. Namun pujukannya tidak mampu untuk aku tolak.

Aku serahkan telefon aku dan Julia melangkah keluar dengan telefonku, melangkah ke koridor dan menjatuhkan telefon aku ke bawah. Dan dengan muka hodohnya, dia kembali masuk ke wad dan naik ke katil dan tidur di sebelahku.

Keesokan hari Julia sejak pagi memujuk aku untuk ikut bersamanya. Semakin lama, permintaannya bertukar menjadi ugutan. Dan pada pukul empat petang aku tewas. Aku cabut wayar drip di tanganku dan mula keluar ke koridor.

Dan itulah ceritanya kawan-kawan. Sekarang Julia berada di tepi sana bersama dengan beberapa orang yang memujuk aku untuk turun dari tembok koridor. Aku tiada upaya untuk melawan pujukan Julia.

Kakiku sekarang berada di tembok dinding koridor dan di bawah sana adalah destinasi maut aku. Aku tidak boleh melawan pujukan Julia untuk meminta aku terjun. Tiba-tiba aku lihat semakin ramai yang hadir memujukku untuk terjun. Semuanya berwajah menakutkan- dengan kebanyakannya tiada kulit pipi yang yang tersisa menampakkan tengkorak.

“Terjun Faiz, terjun Faiz” Kata mereka serentak. Seorang dari mereka berpakaian kemeja putih, bagai uniform pemandu bas, dengan nama syarikat beas ekspres tertera di atas poket di sebelah kiri. Tidak salah lagi, mereka yang berjumlah hampir 30 orang itu adalah para mangsa yang terkorban bersama Julia dalam kecelakaan bas ekspres itu.

Dari jauh terdengar bunyi siren bomba namun tersekat oleh kesesakan lalu lintas. Aku yakin kereta bomba tadi sedang menuju ke mari untuk menyelamatkan aku.

Aku nekadkan diri untuk terjun. Aku pandang ke bawah sana. Kelihatan seseorang sedang berlari bersama dengan seorang lagi yang berbaju putih- pakaian staf hospital. Si lelaki tadi memegang telefon dan bercakap dengan staf hospital itu tadi. Dia mendongak ke atas memandangku dan ternyata dia adalah Firdaus.

Firdaus menunjukkan ke arah telefon yang dipegangnya. Jarinya berkali-kali menunjukkan ke arah telefon yang dipegangnya sedang kakinya berlari-lari anak. Aku tidak memahaminya. Di tepinya lelaki berpakaian staf hospital mengambil telefon dari dan bercakap di telefon dan memberikan kembali pada Firdaus.

“Awak, apa awak tunggu lagi. Kita akan bersama selamanya nanti. Terjunlah awak. Percayalah kat saya.” Kata Julia.

“Terjun Faiz, terjun Faiz.” Ulang si para muka hodoh secara berjemaah.

Sebentar kemudian, ada jururawat wanita menghulurkan telefon. “Encik Faiz, telefon.” Katanya.

“Dari siapa?” Kata aku sedikit menjerit.

“Boss encik Faiz.” Katanya dengan wajah yang panik sambil terketar-ketar menghulurkan telefon.

Aku melihat di bawah sana, Faiz masih mendongak ke atas memandangku.

Aku menerima telefon yang dihulur tadi. Julia tersenyum sinis bagai mengejek.

“Hello Encik Rahman.” Kataku menjawab panggilan boss.

“Hello Faiz. Ini bukan boss engkau, Ini aku Firdaus. Listen, jangan sampai Julia tahu yang aku bercakap dengan kau. Jangan cakap apa-apa, dengar saja.” Firdaus menerangkan. Kakiku hampir tergelincir dan kedenagran beberapa staf perempuan menjerit.

“Aku tak boleh.” Kata aku.

“Dengar Faiz. Itu bukan awek kau. Itu bukan Julia. Itu Cuma halusinasi jahat dalam kepala kau. Dengar sini. Kalau kau nak selamat kau dengar cakap aku.” Kata Firdaus.

“Aku tak boleh. Dia terlalu kuat.” Jawab aku menegaskan.

“Dengar sini. Kau boleh kalahkan dia. Dengar sini. Kau boleh lawan dia. Kau boleh bunuh dia” Kata Firdaus sambil menjerit.

“Macamana? Aku tak boleh.”

“Boleh. Kau boleh bunuh dia?”

“Macamana?” Aku mengulang.

“Kau kena trick dia. Kau kena gunakan helah yang dia guna untuk bunuh kau. Sepertimana dia cuba trick kau untuk mati, macam tu jugak kalu boleh trick dia untuk mati. Dengar sini.” Kata Firdaus.

“Faiz. Awak buang telefon tu. Saya kata awak buang telefon tu sekarang.” Kata Julia dengan suara mengugut.

Tanganku terketar-ketar dan aku akur dengan mencampakkan telefon itu ke bawah. Tak lama kemudian, telefon itu berkecai di bawah.

Tiba-tiba aku mendapat satu akal. Aku akan cuba untuk kalahkan dia. Tanganku memegang dinding. Di depanku adalah maut dan di belakangku adalah lantai koridor hospital.

“Julia. Saya akan terjun tapi dengan syarat, kita terjun bersama.” Kata aku memujuk.

Semua wajah-wajah ngeri tadi memandang ke arah Julia sementara yang lain terpinga-pinga tidak faham.

“Baiklah, kita terjun bersama” Kata Julia. Dengan badanya yang hancur berbau dia memanjat tembok dinding koridor dan berdiri di sebelah aku. Aku cuba memegang tangannya tapi ditepisnya.

“Ready?” kataku.

“Biar Julia kira sampai sepuluh. Sampai sepuluh, kita terjun bersama. “ Kata Julia. Pipinya bergerak mungkin tersenyum-tapi taklah aku nampak senyumannya, yang nampak hanya gigi tampa dinding hingga ke belakang mulut yang menyeramkan.

“Baiklah, kirakan.”

Julia memulakan kiraan. “Satu…dua…tiga…”

Tanganku memegang kejap ke dinding tepi koridor. Bunyi siren biomba semakin mendekat dan aku pasti mereka sudah sampai ke kawasan hospital.

“empat…lima…enam…tujuh…lapan…”Julia berpaling ke arahku. Dan aku menagangguk.

‘Sembilan…” katanya dan saat itu aku menolak bahu Julia ke depan sedang badanku ku kujatuhkan ke bawah ke arah koridor dan disambut oleh dua staf lelaki.

Aku meluru ke depan untuk memandang Julia namun dua orang staf tadi memegang aku erat mengelakkan aku dari terjun. Yang nyatanya Julia telah jatuh.

“Lepaskan aku, aku tak terjun.” Kataklu meronta dan dapat aku lihat di bawah sana Julia menemui tanah antara longkang dan batu pavement.

Aku berpaling memandang Jemaah nahas kemalangan bas yang berwajak ngeri tadi. Mereka berpandangan sesama sendiri lantas mereka berundur untuk berpegian dan secara perlahan-lahan badan mereka lenyap-hilang begitu saja. Lenyap begitu saja!

Keadaan menjadi tenang kembali. Aku berasa lega seleganya. Tiada lagi J’Julia’ untuk menghantuiku.

Tak lama kemudian, aku dibawa ke bawah. Kelihatan ramai manusia berkerumun dan semua mata tertumpu ke arah aku. Dua buah beberapa buah kenderaan polis dan jentera bomba kelihatan di ce;ah-celah manusia yang berkerumun. Tanganku bergari di belakang. Kelihatan beberapa wajah yang ku kenal dan salah seorang dari mereka adalah Firdaus.

“Tahniah Faiz, kau Berjaya lawan. Maafkan aku,” Kata Firdaus.

“Tak…terima kasih beb, thank you.” Kataku.

Firduas dan staf hospital yang bersamnya tadi berjalan mengiringiku dan dua pegawai polis bagaikan membenarkan dia menurutiku. Firdaus mengeluarkan sesuatu dari porch bagnya. Ternyata ia adalah sebatang rokok gulung. Kelihatan lebihan tembakau dihadapan ‘rokok’ yang dibalut elok itu. Dia menyalakan rokok tembakaunya tadi dan disuakan ke bibirku. Aku memandangnya dengan keliru.

“jangan bimbang, bukan tembaku spesyel, ni tembakau biasa- beli kat 7- eleven.” Katanya tersengih. Dan aku pun membuka mulut membiarkan rokok tadi menemui bibirku.





*************************************************************

Feel free to share di Facebook, ika anda suka apa yang anda baca, pergi ke home (klik LIPASLITERASI di atas atau di sini, dan jemput baca cerpen-cerpen yang lain.

Saya juga ada menulis novel berjudul Paramalang (424 mukasurat), Sebuah novel urban tentang harapan, cinta, perahabatan, kekecewaan, erti kehidupan dan punk rock! Dapatkan novel PARAMALANG. whatsapp ke 019-3020248 (Matyie Abahaydar)










No comments:

Post a Comment