Friday, May 27, 2016

DIA TAK TAHU YANG AKU TIPU DIA

Dia tak tahu yang aku tipu dia. Bila dia tanya, aku beritahu dia yang dia cuma demam biasa. Bila kepalanya mula keguguran rambut, aku bilang yang perkara itu adalah biasa bagi mereka yang banyak makan ubat. Dia terlalu muda, baru lima tahun. Tak mengerti apa-apa. Tak sanggup aku bercerita lebih-lebih.

Dia adalah bukti satu perkahwinan. Satu penyatuan antara dua jiwa. Aku pernah memiliki satu jiwa sempurna. Wajah cemerlang dengan sifat yang hebat. Ibunya cukup sempurna bagiku. Seorang yang kelakar pada masa sama pemalu, dan sangat-sangat menjaga maruah. Aku bukanlah seorang yang berakhlak sempurna, tapi dengan dia, dia melayanku seperti  aku maksum. Menjaga makan pakai, memastikan aku sempurna-sesempurnanya.

Ibunya tidak sejelita mana, tapi cukup jelita bagiku. Yang penting, senyumannya cukup manis. Kulit Melayu. Rambut ikal. Sedikit lesung pipit, gigi sedikit berlapis, sederhana tinggi. Senyumannya, ah…, senyumannya sentiasa membuat aku cair.

Katanya aku adalah orang pertama yang dia menyerahkan hati. Perkenalan kami tidak lama. Dia dulunya adalah sukarelawan UNHCR. Pernah ditunangkan dengan sepupu sendiri. Keduanya pilihan keluarga yang inginkan keduanya disatukan. Tunangnya dulu kacak, badannya agak sasa. Namun ada cerita yang tidak memungkinkan mereka bersatu. Cukuplah dinyatakan yang tunangnya dan sepupunya itu sangat akrab dengan sahabat lelaki beliau. Sangat akrab hinggakan urusan perkahwinan ditunda, atau sengaja dilengahkan hingga empat kali.

Dan dia sibuk dengan dunia kesukararelawannya, tiada masa untuk mencantumkan hatinya dengan sesiapa. Apabila usia condong ke angka tiga, masing-masing mendesak untuk dia bersatu.Bagi keluarganya yang sedikit tradisional, umur begitu tanpa teman hidup bagai satu kecacatan.

Aku hadir pada waktu yang cukup tepat.  Duduk di sebelahnya dalam perut AirAsia ke Sabah. Dia dengan urusan kerjanya dan aku dengan kerjaku. Setelah setengah tahun berkenalan, kami bersanding, dan hidup bersama sehingga lima tahun. Dua minggu setelah ulangtahun perkahwinan kami, Nadia, isteriku pulang kepada penciptanya ketika melahirkan Anis.

Dia tak tahu yang aku tipu dia. Wajahnya pucat dan sedang nyenyak tidur. Aku membetulkan tiub drip water yang tertindih di bawah lengannya. Sebelum tidur katanya, bila besar kelak dia dia mahu belajar rajin-rajin dan dia mahu jadi Ana dari filem Frozen. Aku tak pasti apa kena mengena belajar bersungguh-sunguh dengan menjadi Ana. Adakah dia fikir yang Ana itu satu pekerjaan.

Biasanya badannya lemah. Dilemahkan lagi dengan jumlah makanan yang bertandang ke mulutnya. Dia hampir tiada selera langsung akhir-akhir ini. Yang dia mahukan adalah Ribena dan Susu Cokelat, dan acap kali kerana susu cokelat yang melugaikan itu menyebabkan dia termuntah- muntah. Dan aku agak bersyukur kerana polisi insuran yang dibeli untuknya. Kalau tidak, aku tidak dapat bayangkan bagaimana aku mengharung sekelian malam bersamanya di wad hospital kerajaan yang kurang selesa. Ini pun aku menemaninya pada sekian malam tanpa katil.

Pagi tadi dia bertenaga luar biasa. Dalam sakitnya itu, dia tampak sungguh riang. Dia menyanyikan lagu ‘Gummie Bear’ dengan sekuat-kuat kederatnya. Sungguh riang. “I am a Gummie Bear, I am a Gummie, I am a gummie gummie, gummie, gummie gummie bear.’ Diulang berkali-kali persis seorang gadis yang tidak sakit. Aku menepuk tangan menyokongnya. Tapi di dalam hati aku menangis tentang ketidakketahuan betapa serius penyakit yang dideritainya. Mataku berkaca. Selepas sepuluh minit, hatiku makin luluh dan aku meminta diri ke bilik air di bilik luar walaupun tandas tersedia di bilik wad itu. Aku tak mahu dia tahu yang aku sedang bersedih. Sampai ke tandas, aku mengunci pintu dan aku menangis semahu-mahunya. Bahuku bergoyang menghenjut laju tanpa boleh dihenti-henti.

Kenapa malang berulang-ulang malang menempel dalam hidup aku. Kenapa perlu gadis sekecil ini dihukum. Bila aku kembali ke wad aku mendapatinya sedang menonton TV. Dilihatnya di flat scrren yang sedang memaparkan sekawan gadis-gadis sekitar usianya bermain roller-blade.

“Boleh tak abah belikan Anis roller blade please…pretty please abah?”

Aku mengangguk. Entah boleh atau tidak gadis selemah itu bermain kasut beroda itu. Apa jadi kalau dia jatuh? Pandaikah dia menahan jatuhnya dengan tangan. Kalau jatuh tersembam muka? Macam-macam persoalan dalam benakku.

Bagiku aku seorang yang tamak. Tamak dengan nikmat tuhan. Betapa nikmatnya dan bahagianya aku di samping Nadia namun aku mahukan lebih. Aku mahukan tambahan ahli dalam keluargaku. Tamak, sungguh tamak.

Nadia cukup sempurna bagiku, namun ada kekurangannya. Kekurangannya ialah dia belum mampu menganugerahan padaku zuriat. Dan aku tamakkan satu ‘dekorasi’ bagi sebuah keluarga. Macamlah tanpa anak, keluarga takkan sempurna.

Dia tahu yang aku sangat inginkan anak. Dia dan aku kerap berjauhan. Dia dengan kerja sukarelawannya dan aku yang selalu out-station. Agaknya itu penyebab rezeki zuriat kami berat. Aku tidak pernah memintanya untuk berhenti kerja, tapi dia sangat tahu.

Suatu hari aku melihatnya mengangis di bilik. Aku tak mahu mengganggunya. Tak lama kemudian dia keluar dengan wajah yang sangat manis membawa satu mug besar berisi Nescafe Ais yang sangat aku gemari. Dia tersenyum menayangkan senyuman yang amat manis.

“Abang.”
            “Apa dia?”
            “Nad nak bagitau yang Nad dah surrender resignation letter dah.”
            “Kenapa? Tak seronok kerja kat situ?”
            “Dah, letih laa travel selalu.” Katanya tersenyum.

            Aku tahu dia sangat mencintai kerjanya itu. Aku tahu yang dia amat bahagia dengan kerjanya. Tapi dia mengalah keranan ingin mengurniakan aku seorang zuriat. She’s a giver. She gives everything. Dia menyerahkan segalanya, jiwa dan raganya kepadaku. Sepertimana kerja kesukarelawannya menuntut pengorbanan, begitulah dia berkorban, untuk aku, demi aku. Aku, aku dan aku.

            Malam itu di dapur, aku perasan dia menangis bersendirian. Aku datang untuk mengisi air. Dia mengubah mood dan mengesat air matanya. Dan aku menjadi seorang aku, aku, berbuat tidak faham.

            Dia tak tau yang aku tipu dia. Seperti aku tipu dia yang aku akan belikan dia roller blade. Dia pernah bertanya di mana ibu? Buat sekelian kali aku nyatakan yang ibunya di syurga. Katanya, “Boleh tak bila Anis besar sikit, Abah bawak Anis pergi melawat ibu kat Syurga?” Aku mengangguk lagi. Menipunya lagi.

            Setelah empat tahun kami berumah tangga. Dan dua tahun Anis meninggalkan kerjanya, suatu hari dia berlari dari bilik air membawa pregnancy test stick dan dengan  riang dia berkata.
           
“Dua jalur, dua jalur! Abang… dua jalur!”

Aku gembira tak terkata, senyumku sampai ke telinga hinggalah pada bulan keempat kehamilan apabila doktor menyatakan bahawa rahimnya bermasalah. Nadia perlu gugurkan kandungan atau menempuh risiko kematian. Dia bertanya doktor, berapa peratusan dia akan selamat jika dia teruskan kehamilannya. Doktor memberikan jawpan yang tidak memberangsangkan.

Dia memandang aku dan melihat wajah kecewaku. Selama beberapa hari aku kurang bercakap dengannya. Betapa bodohnya aku.

Suatu hari dia datang membelai rambutku. Katanya, dia telah membuat keputusan. Dia akan teruskan kehamilan, bukan kerana aku tapi kerana kemahuannya. Padahal aku cukup tahu akan penndorong keputusannya, Ia adalah keputusan yang sangat berani melihatkan peluang berjaya ketimbang risikonya yang bakal membawa fatal. Dan ketika dia bertanya akan pendapat aku, bagai satu setan mendorongku berkata. “Ye lah kalau macam tu, abang setuju.” Padahal itulah yang sangat aku mahu.

Betapa besar pengorbannya. Betapa besar pengorbanannya.

Dan sekelian bulan kemudian, di dalam bilik bersalin, aku tidak dibenarkan berada di dalam. Ibu dan bapa Nadia juga hadir dan memandang aku dengan mata yang cukup memberi isyarat bahawa mereka tidak setuju dengan tindak tandukku. Aku bodohkan muka dan percaya yang semua akan jadi OK.

Dan apabila doktor keluar dengan menunduk, aku bagai tahu keputusannya. Dan aku mula sedar yang keputusan aku itu adalah sangat bodoh. Apabila doktor menuturkan dan mengumumkan pemergiannya, ibu Nadia menangis bagai orang hilang akal, bapanya berulang alik mengintai bilik, sekejap dipujuknya isterinya dan sekejap memandang ke bilik. Dan aku, aku bagaikan mahu mencampakkan diriku dari banggunan 20 tingkat. Aku bagai ingin menjerit memberitahu dunia yang aku lah orang yang bertanggungjawab ke atas kematiannya.

Setengah jam kemudian aku menemuni zuriatku di incubator. Aku terlupa yang dia perlu diiqamahkan, apa yang aku lakukan adalah mencium dahinya berkali-kali sambil berkata, “Abah sorry, abah minta maaf, abah mintak maaf kat  ibu dan kat semua orang. Kalau tiada nurse yang berhampiran, mau saja aku melaung melepas kesal.

Dia tak tak tahu yang aku tipu dia. Dia tidak tahu yang aku merampas kasih-sayang ibu darinya. Atau dia tidak sepatutnya lahir pun ke dunia. Dan sekarang tuhan bagai menghukum aku dengan penyakitnya. Yang nyatanya, dia tak tahu yang aku telah berpakat dengan takdir untuk membunuh ibunya.

Matyie Abahaydar
27/5/2016
Menunggu maghrib.


Salam, kalau anda suka apa yang and baca, sila kongsikan post facebook ini di wall anda. Pada masa yang sama, saya juga menulis novel di bawah. Dapatkan di www.gerakbudaya.com (fiction/ Bahasa Melayu) atau kedai-kedai di sekitar anda.

CERPEN LAIN
KELUAR

           






No comments:

Post a Comment