Friday, December 23, 2016

PELURU KELIRU


Muncung senjata Automat Galisnovoka 58 kelihatan dari satu sudut bagai menungkat bulan di langit cerah bumi Levonshem. Sungguh tenang dan indah permandangan malam ini. Sungguh mendamaikan. Mereka yang memandangnya bisa terlupa bahawa bumi ini adalah bumi yang bergolak untuk kesekian tahunnya hingga hari ini. Bumi yang keliru dengan seratus kisah hampir lunyai dipukul kejahatan.

Bandar di pinggir padang pasir itu bagaikan Bandar hantu. Ditinggalkan sejak setengah tahun lepas. Vidin bersandar di dinding di salah sebuah banggunannya yang runtuh sebahagian bumbungnya. Senjatanya hampir di bahunya. Letihnya bukan kepalang. Lehernya ada kesan sedikit luka akibat percikan ledakan yang agak jauh pada pertempuran petang tadi. Mujur api letupan tidak jatuh hampir dengannya. Kalau tidak telah habis usianya dan berhasil lah dia berjumpa dengan Sang Pencipta.

Sudah setengah kurun Levonshem bergolak. Dan beribu jiwa telah padam. Namun peperangan masih belum tampak untuk berhenti. Dan duka Levonshem telah disahut oleh banyak bangsa di dunia, bagi menyelamatkan saudara yang berkongsi pegangan kod moral yang sama. Ribuan datang menyahut tanpa mempedulikan maut yang mungkin menjemput. “Pegangan kami adalah agung dan musuh kami perlu dilenyapkan dari bumi Levensyem ini.”  Itulah tiupan semangat yang selalu terlaung menjemput Vidin dan sekelian manusia dengan tujuan yang sama bersama berjuang di sini.

Musuh mereka adalah ‘para durjana’ itu. Mereka memanggilnya elQubree. elQubree adalah sejahat makhluk di muka bumi bagi mereka, dan kerena penyimpangan mereka, mereka lebih bahaya dari musuh-musuh bukan sekepercayaan mereka. elQubree perlu dihancurkan selumat-lumatnya. Levonshem perlu merdeka walaupun ia bakal dibeli dengan tumpahan darah mereka.

Petang tadi pertempuran agak hebat. Mereka menjumpai saki baki militan celaka elQubree yang masih degil berkampung di daerah ini. elQubree mengalami kekalahan hebat di daerah ini digempur pasukan yang disertai Vidin. Malangnya kumpulan petrol kali ini Vidin hanya berjumlah 20 orang. Tujuh terkorban dan tercedera berat dan telah dihantar dengan lori ke kem 10 km dari sini. Maka ini  mengecilkan lagi jumlahnya dan mereka diperintahkan bertahan di sini. Kalaulah Vidin bersama dengan kumpulan Induk dari kem, takkan sampai sejam, elQubree yang berjumlah kecil tadi bakal tinggal bangkai semuanya.

Di sebelah sini peperangan bagaikan ada undang-undang yang tidak bertulis. Malam adalah dikhsuskan untuk berhenti rehat dan rawat. Maka Apabila gelap menjelma, taburan peluru bakal terhenti.

“Mana Avang Adi?” Tanya Mehmez, pemuda betubuh sasa dari daerah Kekennya. Jambang merahnya menambahkan bengis. “Peluru perlu disimpan hingga bantuan datang esok pagi! Mana Awang Adi?” Amuknya. “Mana si celaka itu?”

Petang tadi Mehmez baru sahaja memikul rakan seperjuangan yang cedera ke dalam trak. Terburai tali perutnya terkeluar sebelum dibalut dengan kain. Ada yang diam setelah peluru menembusi mata. Ada yang hancur anggota di bawah lutut. Darah sangat murah petang tadi dan sebahagiannya masih terlekat di seluar dan kasut Mehmez. Dan mood Mehmez, pendekar berani mati yang dikatakan membunuh lebih 100 musuh itu tidak baik sejak tadi.

Vidin terdiam. Dia tidak tahu apa yang bakal dicakapkan. Perlukah dia memberitahu perkara yang sebenar?

Avang Adi ditugaskan dalam pengumpulan alatan. Avang Adi adalah anak cerdas berusia 19 tahun. Avang Adi datang dari rantau yang sama dengannya, dari Arkipelago Sumadara. Cuma dia tiba tiga bulan setelah Vidin berada di bumi Levonshem. Dia terlalu muda, dan terlalu cergas. Penuh dengan rasa ingin tahu  dan akalnya mendorong dia untuk mempersoalkan semuanya.

Vidin teringat dengan perbualannya bersama Avang Adi minggu lepas. Perbualan yang mungkil bergaul dengan ketakutan dan kejahatan. Namun perbualan itu melekat di fikiran Vidin. Perbualan itu amatlah sangat mengganggu akal Vidin. Sesuatu yang membolak balikkan pertimbangan Vidin.

Avang Adi mempersoalkan tujuan mereka di sini. Kenapa mereka datang ke sini. Adakah kerana pegangan mereka atau satu kebodohan.

“Kau tau lari dari peperangan adalah satu dosa yang tak terampun!” Kata Vidin kepada Avang Adi. Badannya begitu hampir dengan unggun api yang memberi cahaya pada kelam awal malam pada malam minggu lalu itu.

“Tak, kalau kau enggan mau ikut, itu pilihanmu.” Kata Avang Adi kecewa. “Kau sahabatku. Kalau kau tak mahu ikut denganku untuk kembali, nah terserah padamu. Aku akur.” Avang Adi bermain-main dengan tabung air ditangannya.

“Kejahatan apa yang menguasaimu? Lebih setahun kamu di sini. Kenapa kau tak mahu teruskan menghancurkan saki baki musuh?”

Avang Adi menoleh dengan mata tajam dan mula menepuk-nepuk dadanya. “Nyawa ini saja yang aku punya. Hanya nyawa ini. Dan aku berhak dengan pilihanku. Ini hidup aku. Kau perlu hormati itu.”

Vidin memerhatikan sekeliling, gentar jika perbualan mereka mungkin didengari. Mujur sahaja mereka berbual di dalam bahasa yang hanya difahami oleh mereka berdua.

Vidin melabuhkan punggungnya ke tanah. Dia mematahkan ranting halus dan mula mencakar tanah bagai melukis sesuatu. “Baiklah!” Katanya. “Aku hormati keputusan mu. Cuma saja kau sahabatku yang paling dekat. Kalau tidak, sudah pasti pisau di pinggangku ini telah terbenam ke dadamu. Bagiku, lari dari medan juang adalah satu pengkhianatan yang hanya biasa dihukum dengan kematian.”

            “Bolehkah aku bertanya.” Kata Avang Adi sambil mula berlutut mengadap unggun api tadi. Bayang-bayang mukanya berubah bentuk mengikut liuk lentok api yang menari.

            “Bolehkah aku menjawab tidak?”

            “Sedari kecilmu, kau setia dengan kepercayaanmu. Dan sedari kecil kita sering disedari tentang musuh besar pegangan kita.”

            “Maksudmu?” Tanya Vidin.

            Avang Adi menggeselkan kedua tapak tangannya dan menadah pada api untuk mencuri haba. Kesejukan malam di padang pasir itu agak menyiksakan pada hujung tahun begini.

            “Siapakah kejahatan agung yang selalu kita selalu sedari sejak dahulu.” Avang Adi mula bertanya lagi. “Siapa musuh besar pegangan kita?”

            “Senang! Dua durjana besar. Xioniff dan Yankmerigo.” Kata Vidin.

            “Yaaa!!! Rejim Xioniff. Kita tahu Xioniff adalah musuh kita. Cuba kita lihat minggu lepas, ketika ramai pejuang kita cedera, di mana mereka dirawat?”

            “Mereka…mereka di bawa ke rumah sakit di sempadan Xioniff.”

            “Ya. Maka apa logika ini. Kita berperang dengan elQubree dan pejuang cedera dirawat di rumah sakit Xioniff. Tidakkah akalmu berselirat dengan pertanyaan?”

            “Ya, tapi…”

            “Bagaimana pula dengan persenjataan. Roket dan peluru kita, kenderaan dan kereta perisai kebal kita dari mana datangnya?” Tanya Avang Vidin bersungguh-sungguh.

            “Dari…”

            “Dari Franko Yacobeen kan? Dari Injeelizia. Sekutu rapat Yankmerigo. Malah wakil Yankmerigo sendiri datang menemui wakil kita membekalkan bantuan dan bantuan intelijensia. Apa maksudnya ini?”

            “Tapi…”

            “Bukankah Xioniff musuh kita? Bukankah Yankmerigo musuh kita? Kenapa kita dibantu musuh?”

            “Avang…”

            “Akal sihat mana bisa menerima ini Vidin?” Tanya Avang Adi dengan muka seserius mungkin. “Aku pening memikirkannya.

            “Avang, kau perlu tahu strategi peperangan. Dalam perang ini, elQubree adalah musuh kita. Dan tidak salah kan untuk mengambil bantuan musuh untuk memerangi musuh yang satu ini kan?” Kata Vidin memelahankan suara. Bunyi api membakar kayuan mengiringi suaranya.

            “Bukankah itu permainan musuh. Lagipun, adakah eLQubree benar musuh kita? Kita berkongsi percaya pada Sang Penciptya yang sama. Dan bukan seluruh ahli pegangan kita tidak menerima mereka. Sebahagian berlapang dada menerima kekhilafan dan sebahagian tidak. Dan kita entah bagaimana berkeputusan memusuhi mereka. Kita dengarkan kata-kata para penyeru kepercayaan yang bernada keras. Adakah panjang akal pengadilan kita ini? Bagaimana dengan penyeru yang menerima mereka? Adakah mereka menyimpang?”

            “Kenapa kau tiba-tiba mempersoalkan perjuangan kita? Ketakutanmu telah menulis pelbagai cerita di dalam akalmu!” Kata Vidin sedikit meninggikan suara.

            “Perjuangan? Aku malu. Aku malu dengan perjuangan ini.” Kata Avang Adi sambil mukanya menjauhi. Botol tabung air bewarna hijau itu dibuka.

            “Apa yang kau malukan?”

            “Tidak bacakah kita akan sejarah?”

            “Sejarah apa?”

            “Yang sekurang-kurangnya elQubree celaka itu berperang dengan musuh yang kita maklumi. “ Avang Adi bingkas dari duduknya dan beberapa tapak menjauhi api.

            “Kejahatan apa yang menguasaimu?” Kata Vidin.

            “Kenyataan, bukan kejahatan.” Avang Adi meneguk air dari tabung hijau itu. Dan kemudain menyambung. “Mereka melawan Xioniff dan Yankmerigo. Mereka berjuang dengan dengan tumbangnya bukan sedikit nyawa dan akhirnya berjaya menghalau Xioniff dari tanah air mereka. Dan mereka menderita disekat ekonomi puluhan tahun oleh yankmerigo dan sekutu, tapi mereka masih bangkit melawan.” Avang Adi mengeluh.

            “Akal penyimpangan telah mengianati hatimu Avang Adi. Katakan sahaja kau telah bertukar menjadi pengecut lantas kau tulis rumusan yang pelbagai bagi menyokong kecenderunganmu.” Vidin juga mula bangun untuk berlalu.

            “Rumusan. Ya, rumusan bagaikan rumusan sifir! Tepat sekali. Apa rumusan kau dengan keganasan yang kita lakukan terhadap para awam. Merakamkan sembelihan bagaikan itu suatu perakara yang dibanggakan, dan patut diraikan dan dikongsi di sesawang ke seluruh dunia.”

            “Kau meracau! Simpan sedikit kegilaanmu itu. Ketakutan terhadapa kematian telah menelanmu. Arghhh! Aku pergi dulu.” Kata Vidin sambil menutup telinga.

            “Bagaimana dengan elQudza? Bagaimana dengan Varastint!”

            “Kenapa dengan Varastint?” Tanya Vidin terganggu dia untuk berlalu.

            “Sifirnya mudah. Saudara kita yang tersiksa di Varastint diganyang Xioniff setiap hari. Lihat sifirnya. Varastint dan Xioniff bersempadan dengan Levonshem. Levenshem menawarkan ruang latihan bagi pejuang Varastint. Musuh malah dunia mengetahui dan mengumukan bahawa persenjataan Varastint sebahagiannya berusul dari Levonshem dan daerah elQubree.” Kata Avang Adi.

            “Maksudmu?”

            “Lihat pula pelaung-pelaung yang meniup perang, dan penaja-penaja dan pengeluar dana untuk peperangan kita! Ghadar? Sovdee? Pernahkah mereka bersunggup meniup perang untuk menolong Varastint? Tidak kan? Tidak pernah sekalipun kedengaran bahawa bangsa-bangsa itu mengirim walau sebiji peluru pun pada Varastint. Tapi untuk perang ini, mereka begitu bersungguh. Padahal boleh saja perang ini merebak ke Xioniff yang tidak jauh dari sini.”

            “Maka?” Tanya Vidin sedikit mengherdik.

            “Arghhh, aku yakin aqalmu sihat dan kau tak mungkin mahu dijadi umpan catur.” Kata Avang Adi sambil menuangkan sisa air ke unggun api dan memijak-mijak bara api dengan bootnya memastikan api tidak bersisa. “Mungkin anjing takkan menggigit tuannya sendiri?” Avang Adi terus berlalu meninggalkan Vidin.

            “Avang Adi dan Rosmanov telah menghilangkan diri.” Kata Mehmez yang berjanggut merah tadi. Ditubuhnya terpakai jaket yang terselit alat letupan yang jika diletupkan bakal menghancurkan seluruh bangunan ini. Lamunan Vidin berakhir dan dia mula cemas.

Hanya lima orang berada di banggunan ini. Selebihnya berada di banggunan lain, selang tiga banggunan dari tempat mereka berada. Di bangunan ini tersimpannya bekalan senjata, peluru, makanan. Kedudukannya agak ke dalam berbanding bangunan yang satu lagi di mana mereka berkawal mengadap arah musuh.

            Mehmez memandang dinding dengan lama. Tak lama kemudian, dia mengeluarkan pistol dari pinggangnya, berpaling ke arah Vidin.. Dia berjalan mendekat setapak demi setapak dan muncung pistol itu bagai dihalakan ke arah Vidin. “Vidin, aku rasa kau tahu sesuatu tentang ini. Bagitau aku, di mana Avang Adi?”

            “Apa yang kau buat ni? Kau dah gila Mehmez?” Kata Vidin memandang muncung pistol dihadapannya.

            “Beritahu aku!” Pekik Mehmez sambil melepaskan picu keselamatan pistolnya.

            Tiba-tiba datang Avu Razed tegesa-gesa bercakap dalam bahasa yang tidak difahami Vidin. Mehmez kelihatan cemas. Mereka dengan segera beredar dan kedengaran bagai pergaduhan berlaku di luar.

            Vidin menjadi lega. Dadanya bergelombang kencang. Dia bingkas berdiri dan mual berjalan mundar-mandir. Kegilaan apakah yang baru berlaku tadi? Kepalanya berselirat dengan pertimbangan yang pelbagai.

Dia kembali duduk dan memikirkan tentang perbualannya dengan Avang Adi minggu lalu. Perbualan itu betul-betul mengganggu pertimbangannya. Apatah lagi banyak yang dikatakan Avang adalah benar.

            Sebenarnya sebelum pun perbualannya dengan Avang Adi, telah banyak kali persoalan itu hinggap di kepala Vidin sepanjang dia berada di situ. Banyak perkara yang berlaku. Kekerasan, keganasan dan dia tidak tahu adakah perkara-perkara yang dilakukan itu berseiring dengan kepercayaannya.. Banyak perkara yang sangat-sangat perlu dipersoalkan. Adakah jalan perjuangannya ini adalah jalan yang diredhai.
            Baru sahaja dua minggu lepas rakan-rakan seperjuangannya merogol gadis awal belasan tahun. Tidak seorang pun mereka dihukum. Sebaliknya mereka dimaafkan dengan justifikasi yang mereka dari barat dan baru memeluk kepercayaan ini. Dan para perawan yang dirogol adalah peyakin kepercayaan elQubree maka ia dimaafkan. Terdengar juga edik-edik hukum dari pendita-pendita besar yang sangat keluar dari ruang setujunya. Kenapa terjadi demikian. Tidakkah ia bercanggah dengan pesan Sang Pengantara yang ketat dengan undang-undang perangnya.
 Dan yang paling dasyat, dua hari lepas seorang dari mereka telah datang ke mayat musuh, mengelar dada dan memakan hati mangsa. Semua menyaksikan perkara itu bagaikan satu perayaan. Malah ianya dirakam. Kegilaan yang amat gila. Dan seringkali mimpi ngeri dan rasa bersalah mendatangi mimpinya. Dia cuba melupai kedasyatan musim peperangan. Namun dia lupa untuk melupakan. Sesungguhnya dunia peperangan penuh dengan keliru dan kepelikan.
Terngiang-ngiang kata Avang. “Apa rumusan kau dengan keganasan yang kita lakukan terhadap para awam. Merakamkan sembelihan bagaikan itu suatu perkara yang dibanggakan, dan patut diraikan dan dikongsi di sesawang ke seluruh dunia.” Kata-kata itu bagai menikam akalnya. Dia mula ragu-ragu.
Dia tersandar di dinding dan mula mengingati sesuatu dan wajah Avang Adi maghrib tadi muncul kembali dalam kepalanya.

            “Vidin. Aku harap kau mengubah fikiran.” Bisik Avang Adi ke telinga Vidin dengan suara yang sangat mengharap.

            “Aku tak boleh meninggalkan perjuangan ni.” Kata Vidin.

            “Hmmm… dengarnya  bantuan musuh bakal sampai. Mungkin esok. Mungkin lusa. Ini bagaikan bunuh diri…”  Kata Avang Adi?

            “Bukankah kematian salah satu cita-cita kita apabila kita kemari?”

            “Terpulang. Namun jika kau beralih fikiran, kami akan berada di perkampungan Aluva sehingga subuh. Kami akan tunggu di kuburan di sana. Nanti subuh bakal ada kenderaan yang akan membawa kami ke sempadan. Aku harapkan kau bakal datang. Kami menunggu.”

            Vidin menutup mulutnya. Dia bagaikan tahu apa yang perlu dibuat. Dia menggapai senjatanya dan berfikir. Haruskan dia meredah gelap malam ke kuburan Aluva? Dia serba salah. Tiba-tiba sesuatu terpacul dari mulutnya. “Ini satu kegilaan!” Terbayang muka Mehmez yang menggila yang hampir membunuhnya. Dia mula nekad. Dia mula keluar melangkah.

            Tiba-tiba “Kebbooooommmmm.” Bunyi yang kuat dari arah selatan diekori oleh bunyi mesingan. Vidin terkejut dan mula mengintai dari jendela. Kelihatan dari jauh sebuah kereta perisai kebal datang mampir.

            Keadaan semakin kacau. Vidin memikirkan ini lah masa yang sesuai untuk dia meredah gelap malam. Tiba-tiba muncul Mehmez dengan senjata di tangan. Jaket ves letupan masih lagi tersarung di  badannya. Dia kembali ke bilik sebelah.

            Kedengaran bunyi tembakan dari atas. Rupanya bangguan telah dikepung. Vidin mendongak dan kelihatan sekurang-kurangnya ada empat orang berada di bumbung. “Jangan bergerak!” kata mereka. Bunyi kekecohan di luar semakin memuncak. Mungkin puluhan tentera musuh berada di luar bangunan.

            Vidin mula menjatuhkan senjatanya. Agaknya telah lama pihak musuh mengidamkan bekalan persenjataan yang berada di bilik ini. Dan tiba-tiba air mata sesalan mula mengalir di mata Vidin. Dia mual memikirkan siksaan atau atau kematian di jalan kebodohan. Menyerah adalah pilihan yang lebih tepat.

            Tiba-tiba terdengar teriakan. Mehmez datang berlari. “Tiada yang lebih indah dari kematiannya!” Jeritnya.

Peluru-peluru mula hinggap di dadanya. Di masih gagah berdiri.

Kakinya masih melangkah dan dari tangan kelihatan pemicu letupan.

Dia mengangkat tangan dan mula menekan pemicu bom yang terlekat di dadanya dan….

***********************************************


Jika anda suka apa yang anda baca, pergi ke home (klik LIPASLITERASI) di atas atau di sini, dan jemput baca cerpen-cerpen yang lain.

Saya juga ada menulis novel berjudul Paramalang (424 mukasurat), Sebuah novel urban tentang harapan, cinta, perahabatan, kekecewaan, erti kehidupan dan punk rock! Dapatkan novel PARAMALANG. whatsapp ke 019-3020248 (Matyie Abahaydar)




           

           

             

           



No comments:

Post a Comment